Shafie: BN menang K'tan jika beri kerakyatan
Naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata BN pastinya sudah berjaya merampas pentadbiran negeri Kelantan sekiranya ia terlibat mengeluarkan kerakyatan kepada pendatang asing.
Namun, BN tidak melakukan perkara seperti itu, katanya yang turut menafikan penglibatan BN dalam kes pemberian kerakyatan di Sabah yang digelar 'Projek IC'.
"Ia (kegiatan mengeluarkan hak kerakyatan kepada migran) bukan kerja BN. Takkan kita hendak buat kerja seumpama itu.
“Jika kami lakukan, kami sudah memenangi Kelantan sejak dulu lagi,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media hari ini.
Laporan siasatan diraja berhubung Projek IC yang didedahkan semalam antara lainnya merumuskan bahawa kegiatan itu mungkin benar-benar berlaku.

