Kes jagaan: Rayuan bapa mualaf diputuskan 17 Dis
Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam menetapkan 17 Disember untuk keputusan berhubung rayuan yang dikemukakan seorang bapa mualaf berhubung hak jagaan dua anaknya hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri beragama Hindu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Aziz Ab Rahim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Mohd Haniff Katri Abdulla yang mewakili N Viran dan peguam Fahri Azzat yang mewakili bekas isterinya, S Deepa.
Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Ahmadi Asnawi.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata pada hari yang sama (17 Disember) panel yang sama akan memberi keputusan berhubung rayuan yang dikemukakan oleh Ketua Polis Negara berkaitan kes hak jagaan anak.
Beliau berkata Ketua Polis Negara mengemukakan rayuan terhadap perintah mandamus yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh memaksa Ketua Polis Negara mengambil tindakan untuk mencari dan memulangkan anak perempuan bongsu M Indira Ghandi dan menahan bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah yang merupakan seorang mualaf.
Beliau berkata mahkamah juga akan membuat keputusan pada 17 Disember sama ada untuk meneruskan rayuan Viran berhubung perintah yang diperoleh Deepa daripada Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis mengesan anak lelakinya Mithran, 6, yang bersama Viran.
Dalam prosiding di Mahkamah Rayuan semalam, Viran, atau nama Islamnya, Izwan Abdullah, merayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Seremban pada 7 April lepas, yang memberi hak jagaan dua anaknya, Mithran, dan Sharmila, 9, kepada bekas isterinya.
Mahkamah Tinggi pada hari yang sama juga memberi hak lawatan mingguan kepada Viran untuk melawat anak-anaknya, serta membenarkan permohonan Deepa untuk membubarkan perkahwinan sivil bersama Viran kerana beliau telah memeluk agama Islam.
Pasangan itu berkahwin pada Mac 2003 mengikut istiadat Hindu.
Izwan, yang memeluk agama Islam pada 2011, menukar agama anaknya tanpa pengetahuan isterinya pada tahun sama dan kemudian memperoleh perintah daripada Mahkamah Syariah Seremban untuk hak jagaan anaknya.
Haniff Katri dalam hujahannya berkata terdapat peruntukan yang khusus dalam undang-undang Islam, mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan pertikaian keluarga antara orang Islam dan bukan Islam.
"Oleh itu, adalah jelas dengan merujuk kepada perundangan Islam, bukan sahaja Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam dalam keadaan yang mana hak Muslim bertindih dengan hak bukan Islam, terutama dalam situasi menukar agama seperti kes ini," katanya.
Haniff Katri berkata Mahkamah Syariah bertanggungjawab menyelesaikan pertikaian itu berdasarkan prinsip Islam yang betul dan mempunyai justifikasi serta dapat memberi kelegaan kepada pasangan bukan Islam.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi melakukan kekhilafan kerana memberi hak jagaan kepada Deepa kerana mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan hak jagaan anak bukan Islam terhadap pasangan Muslim.
Sementara itu, Fahri berhujah bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa berhubung hak penjagaan anak bagi perkahwinan bukan Islam.
Ini kerana jika seorang daripada pasangan memeluk agama Islam semasa dalam tempoh perkahwinan itu, perkahwinan tersebut ditakrifkan sebagai perkahwinan bukan Islam di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian)1976.
"Mahkamah sivil diberi bidang kuasa eksklusif untuk mendengar perkaraberkaitan perkahwinan orang bukan Islam," katanya.
- Bernama

