Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menjadi pemaju penyelamat bagi projek perumahan terbengkalai Taman Bukit Impian, Seksyen U10, Shah Alam.

Exco kerajaan negeri Iskandar A Samad berkata pemaju asal projek itu telah diberi milik tanah oleh kerajaan negeri dalam 1997 dan dalam 2003 mereka telah  menjual lot-lot tanah kepada para pembeli.

"Bagaimanapun dalam tahun 2006 Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah menerima laporan bahawa projek ini telah terbengkalai.

"Sejak Mac 2008 pelbagai usaha oleh kerajaan negeri telah dijalankan untuk memulihkan projek ini," katanya dalam satu kenyataan.

Projek tersebut melibatkan 52 orang pembeli yang membayar di antara RM160,000 hingga RM356,000 seorang dengan jumlah terkumpul berjumlah RM5 juta.

"PKNS akan memulangkan jumlah yang dibayar oleh para pembeli dan satu pembangunan baru akan dibangunkan di atas tapak tersebut

"Bagaimanapun para pembeli akan diberi peluang untuk membeli rumah di projek baru," katanya.

Menurut Iskandar, menteri besar Selangor akan menyerahkan kembali pembayaran yang telah dibuat oleh para pembeli di dalam satu majlis di Shah Alam pada 16 Disember ini.