Aplikasi 'harga barang tak naik' dilancar
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Tengku Mansor hari ini melancarkan aplikasi mudah alih 1WPrice yang memapar pelbagai maklumat harga barangan keperluan asas dan pelbagai barangan lain di Wilayah Persekutuan.
Ketika melancarkan aplikasi itu di sebuah pusat membeli belah di ibu negara, beliau berkata, ia meliputi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Saya ambil kaedah (memperkenalkan aplikasi) ini ketika di Taiwan dahulu. Selama 20 tahun harga tidak naik.
“Kenapa tidak naik? Dengan adanya kedai yang naikkan harga, pelanggan akan beritahu (melalui aplikasi).
“(Contohnya) kedai ini mahal dan kedai ini murah. Jadi peniaga tidak naikkan harga selama 20 tahun,” ujarnya.
Aplikasi berkonsepkan portal belian barangan itu boleh dipasang percuma di telefon pintar menggunakan sistem pengoperasian Android, Apple dan Window Phone.
Pengguna hanya perlu mendaftarkan e-mel dan kata laluan bagi mengakses aplikasi ini.
Selain mengetahui harga barangan yang murah, pengguna boleh berkongsi maklumat harga patut dan lokasi kedai kedai kepada semua kenalan di laman sosial masing-masing.
Menurut Tengku Adnan, aplikasi itu dapat membantu rakyat membuat perbandingan harga, membantu peniaga mempromosikan barangan, serta membantu orang ramai memantau harga makanan sekitar Kuala Lumpur.
Sekiranya terdapat sebarang penipuan, pengguna boleh melaporkannya kepada pihak Kementerian Wilayah Persekutuan.

