Ekoran insiden keganasan penyokong bola sepak tempatan terhadap penyokong Vietnam, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi menasihati Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mencampurkan penyokong negara berbeza di tempat sama.

“Pihak pengurus stadium dan pihak penganjur harus mengambil jalan, jika ada perlawanan antara dua pasukan dari negara yang berbeza, jangan campurkan penonton-penonton itu di tempat yang sama.

“Saya pernah menjadi presiden sebuah persatuan bola sepak, kita dipisahkan dengan pagar dan duduk di tempat lain, tidak duduk di tempat sama.

“Saya fikir perkara ini harus dijadikan sebagai SOP (prosedur operasi piawai) yang harus diikuti,” katanya dalam sidang media di kementeriannya hari ini.

SOP polis bukan bersama penonton

Jelasnya juga, mengikut SOP, polis harus berada di tempat yang ditentukan oleh pihak penganjur, iaitu di luar padang dan bukannya bersama dengan penonton.

Beliau menjawab gesaan supaya polis harus berada bersama-sama dengan penonton semasa perlawanan untuk mengawal keadaan.

Zahid juga menegaskan bahawa tidak harus ada kompromi terhadap penonton yang “kurang ajar” walaupun mereka ialah rakyat Malaysia.

“Saya tak kompromi dengan penonton yang melakukan kekejaman kepada penonton negara lain, ini tidak ada langsung semangat kesukanan,” tegas menteri itu.

Sementara itu, katanya, pihak polis telah mengenal pasti pihak yang terlibat dan tindakan siasatan sedang dilakukan.

Beliau berkata pendakwaan juga akan dibuat setelah kertas siasatan selesai.

“Saya harap Kementerian berkenaan dan FAM harus ambil langkah proaktif agar kejadian sama tidak berlaku kepada mana-mana pasukan atau penyokong negara luar,” katanya.

Polis seru saksi tampil

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Dato Mohd Adnan dalam satu sidang media hari ini juga berkata, usaha mengesan beberapa individu tersebut sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Katanya, pihak polis kini sedang mengesan beberapa individu lagi bagi membantu siasatan dan pihak polis meminta agar individu terlibat tampil memberi keterangan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pegawai ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202222.

Pada Ahad malam lalu, penyokong Vietnam diserang beberapa penyokong Malaysia semasa perlawanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki di Stadium Shah Alam selepas Harimau Malaya kalah 2-1.