Kenyataan media oleh 25 bekas pegawai tinggi kerajaan dan ahli profesional berkaitan kekecewaan mereka mengenai kurangnya penjelasan dan kefahaman tentang kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan perlu diambil perhatian segera dan serius oleh pihak kerajaan.

Setelah kerajaan melaburkan puluhan juta ringgit untuk membiayai program dan institusi berkaitan agama Islam, nampaknya hasil yang diharapkan masih tidak memuaskan.

Islam yang sepatutnya diterjemahkan agama rahmat dan belas kepada semua rakyat kini mula dipersoalkan.

Hal ini jelas menimbulkan persoalan kepada perkembagan agama Islam yang tidak berkadar langsung dengan kewujudan pelbagai agensi agama seperti JAKIM, IKIM, YADIM bahkan Majlis Agama Islam setiap negeri.

Keresahan yang dizahirkan itu menunjukkan bahawa mereka amat prihatin terhadap perkembangan semasa ketika label 'Islam' telah digunakan sesetengah pihak untuk menjustifikasikan sesetengah tindakan yang lebih mencerminkan tindakan 'autoritarian' melebihi asas rahmat dan belas kepada semua manusia.

Tindakan yang lebih berbentuk 'autoritarian' itu akhirnya akan membentuk jiwa yang keras bahkan tidak selari dengan slogan 'wasatiah' yang digembar-gemburkan oleh Perdana Menteri.

Kegelisahan mereka ini turut menggambarkan kelemahan urus tadbir perdana menteri dan Barisan Nasional dalam isu-isu keagamaan sekalipun memegang tampuk pemerintah negara sejak berpuluh tahun lamanya.

Hal ini diburukkan lagi oleh kemunculan NGO ultra Melayu-Islam yang tidak menjernihkan suasana polarisasi kaum dan agama di Malaysia bahkan tindakan sesetengah pihak itu lebih membawa kerosakan Islam sebagai agama yang mampu mendepani zaman.

Menyedari soal ini, PAS sendiri telah membuat anjakan paradigma lama dulu dengan menubuhkan Lajnah Perpaduan Kaum dan juga telah membuka ruang kepada rakyat bukan Islam untuk bersama-sama dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dengan slogan 'Islam Rahmat Untuk Semua' serta slogan 'Negara Berkebajikan'.

Budaya dialog, wacana

Dalam berhadapan dengan cabaran langit terbuka hari ini, PAS menyambut baik saranan proses perbincangan tersebut dengan menyatakan komitmen kepada perlunya budaya pencerahan sebegini disuburkan supaya salah faham tentang Islam dirungkaikan.

Pendekatan halaqah ilmu, dialog, forum, sidang meja bulat, muzakarah atau wacana harus dibudayakan bagi memberikan kefahaman dan peluang interaksi bukan sehaja kepada rakyat yang beragama Islam bahkan juga kepada rakyat yang bukan beragama Islam.

PAS percaya pemakaian kaedah ini mampu membawa Islam menanggapi cabaran dan kritikan dan seterusnya menunjukkan jalan toleransi yang sesuai dengan kewujudan masyarakat majmuk di Malaysia.

Dengan tangan terbuka, PAS bersedia bersemuka dengan 25 orang bekas pegawai tinggi kerajaan dan ahli professional terbabit dalam usaha meleraikan isu-isu yang timbul dalam menzahirkan komitmen kepada perlunya pembudayaan pencerahan demi pencerahan.

Akhir sekali, saya menyeru supaya semua pihak berusaha mengelakkan penularan aliran ekstrisma di Malaysia dan kembali kepada prinsip-prinsip Islam yang mengutamakan keharmonian masyarakat, antara lain melalui proses perbincangan atas apa jua nama sekalipun.

Teladan harus diambil daripada sunnah Nabi Muhammad SAW yang antara lain melalui pemakaian kaedah ini telah berjaya menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Madinah dan seterusnya bagaimana tamadun Islam berjaya membawa rahmat kepada semua.

Bukan setakat kepada mereka di Tanah Arab, bahkan kepada seluruh manusia termasuk di nusantara ini termasuk dengan kewujudan Empayar Melaka dan Pasai.

Kerajaan seterusnya juga harus merejuvenasi peranan dan amalan di badan-badan agama Islam yang ada supaya fungsi mereka dapat dioptimakan bagi mencegah polarisasi kaum dan agama.

Mana-mana peraturan dan amalan operasi standard perlu diperkemaskan dan diperbaharui supaya agama Islam akan terus dihormati dan disegani kawan dan lawan.


DATUK MAHFUZ OMAR adalah ahli Parlimen Pokok Sena dan ketua penerangan PAS.