Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
4 anggota polis bebas tuduhan bunuh Dharmendran

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan empat anggota polis daripada tuduhan membunuh tahanan N Dharmendran di lokap polis.
 
Hakim Datuk Kamardin Hashim  mendapati tidak ada kes prima facie terhadap mereka.
 
Mereka adalah Inspektor S Hare Krishnan, 40, dari Sungai Petani Kedah; Sarjan Jaffri Jaafar, 44; Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 45; dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 32.
 
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat siasatan D9, Tingkat 7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah di ibunegara pada 21 Mei 2013.
 
Bedah siasat mendapati Dharmendran mempunyai kokot (staple) pada cuping telinga dan buku lali, dan mencetuskan bantahan yang meluas.

Seramai 58 orang saksi telah dipanggil oleh pihak pendakwa.
 
Hakim Kamardin berkata adalah tidak selamat untuk bergantung kepada keterangan mengikut keadaan bagi memanggil kesemua empat anggota polis itu untuk membela diri.
 
Beliau berkata malah Inspektor Hare Krishnan tidak berada di tempat kejadian.
 
Hakim Kamardin berkata kerana mereka didakwa bersama atas tuduhan membunuh, pihak pendakwa tidak membuktikan mereka mempunyai niat bersama atau actus rea (niat buruk) untuk membunuh Dharmendran.
 
Mahkamah seterusnya memutuskan bahawa tidak ada bukti yang ketara atau bukti bahawa keempat-empat tertuduh telah menyerang Dharmendran.
 
Hakim berkata pakar patologi juga mendapati kecederaan pada Dharmendran berusia tiga hingga empat hari, yang boleh membawa kepada kematiannya.
 
Ia bagaimanapun, kata hakim, tidak konsisten dengan tempoh masa dalam tuduhan membunuh itu, dan ini tidak konsisten dengan pertuduhan itu.
 
Kes Dharmendran ini menarik perhatian ramai berikutan kematiannya selepas dia ditangkap kerana didakwa terlibat dalam pergaduhan pada 11 Mei, tetapi meninggal dunia 10 hari kemudian.
 
Berikutan pembebasan empat anggota polis itu, ahli keluarga mereka yang berada di mahkamah bertepuk tangan selepas keputusan itu diumumkan.
 
Peguam M Athimulan mewakili Hare Krishnan, peguam Hazman Ahmad untuk Jaffri, peguam Baljit Singh Sidhu untuk Mohd Nahar dan peguam Ariff Azami Hussein mewakili Mohd Haswadi.
 
DPP Nordin Ismail mewakili pihak pendakwaan.

 
 
 
Lihat Komen
ADS