PERKASA hari ini mendesak kerajaan untuk mengembalikan biasiswa penuh kepada seluruh pelajar berbangsa Melayu.
Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, parti Umno sebagai parti yang membela nasib Melayu seharusnya mengembalikan biasiswa penuh kepada pelajar Melayu.
“PERKASA dengan lantang mendesak kembalikan hak biasiswa orang (pelajar) Melayu (sebanyak) 100 peratus.
"Tidak ada guna kalau Umno bercakap soal hak orang Melayu dengan menjerit memekik soal hak orang Melayu tetapi biasiswa anak-anak Melayu semakin hari makin terhakis.
“Anak-anak Melayu yang menuntut di Indonesia dan Mesir bukan saja mereka tak dapat biasiswa hatta pinjaman dari institusi kerajaan, jadi kita menuntut dikembalikan hak biasiswa ini.
“Jika ini tidak dipulihkan, keyakinan rakyat kepada Umno akan terus terhakis,” katanya dalam sidang media selepas memberikan ucapan dasar di Persidangan Agung tahunan ke-5 PERKASA di Kuala Lumpur hari ini.