NGO sasar 10,000 turun ke Dataran
Satu gabungan 15 NGO mensasarkan untuk menghimpunkan 10,000 orang pada malam sambutan ambang tahun baru 2015 bagi menuntut harga minyak diturunkan ke tahap RM1.90 seliter.
Pengerusi NGO Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), Azan Safar berkata demikian selepas pelancaran risalah #Tuntut Harga Minyak RM1.90 di Masjid Negara petang ini.
Katanya, TURUN yang mengetuai gerakan itu juga akan meneruskan jelajah khususnya di Lembah Klang bagi menarik sokongan rakyat untuk turun bersama mereka untuk perhimpunan jam 9 malam itu.
"Di peringkat negeri, kita serahkan kepada (jawatankuasa peringkat) negeri. Kita sasarkan 10,000 rakyat akan turun pada malam tersebut," katanya.
Beliau berucap sewaktu mengumumkan pelancaran risalah itu di perkarangan Masjid Negara sejurus solat Jumaat petang ini.
Selain TURUN, kempen itu juga digerakkan oleh Pemuda PAS, sayap pemuda PKR, AMK, Gamis dan juga PROTES.

