M'sia turut jadi pemerhati p'raya Uzbekistan
Uzbekistan bersiap sedia mengadakan pilihan raya Parlimennya pada Ahad ketika peranan Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat (CEC) dipertingkatkan dengan diberi status sebagai badan perlembagaan.
Pengerusi CEC Uzbekistan, Mirza-Ulugbek Abdulsalomov, berkata pemberian status itu bermakna CEC mempunyai peranan yang istimewa dalam sistem kerajaan dan memastikan persiapan serta pilihan raya dilaksanakan tanpa campur tangan badan-badan kerajaan lain.
"Ini menjadi satu lagi jaminan penting terhadap usaha komprehensif untuk mempertahankan prinsip demokrasi, keterbukaan dan ketelusan pilihan raya," katanya pada taklimat untuk pemerhati antarabangsa dan asing di Pusat Media Kebangsaan di Tashkent, Sabtu.
Abdulsalomov berkata aktiviti kempen pilihan raya diadakan secara terbuka dan telus dengan pematuhan ketat undang-undang termasuk membuat persediaan pengundian awal bagi pengundi yang tidak dapat pulang ke rumah mereka pada hari pilihan raya.
Pengundian awal ialah dari 11 hingga 19 Dis.
"Dalam kes pengundi individu, atas sebab-sebab kesihatan atau sebab lain mereka tidak boleh datang ke tempat mengundi, Suruhanjaya Pilihan Raya akan menguruskan mereka untuk mengundi di tempat mereka tinggal," kata beliau.
Menurutnya semasa tempoh berkempen, parti-parti politik dan calon mereka diberikan peluang yang luas dan sama rata untuk menggunakan media.
Kempen bermula pada 15 Nov dan berakhir pada Jumaat.
Beliau menjelaskan bahawa mereka diberikan jumlah waktu siaran yang sama menerusi saluran televisyen dan radio serta jumlah ruang cetak yang sama dalam akhbar nasional dan tempatan.
Untuk memastikan ketelusan dan keterbukaan pilihan raya, Abdulsalomov berkata 300 pemerhati dari lebih 50 negara Asia, Eropah, Afrika dan Amerika telah dijemput, selain daripada beribu-ribu pemerhati tempatan, untuk memantau pilihan raya itu.
Malaysia turut dijemput sebagai pemerhati dengan delegasinya yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, tiba di Tashkent pada Jumaat.
Anggota lain termasuk bekas Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang kini pegawai khas di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Setiausaha Bahagian (Analisis Data) SPR Syed Ahmad Bashah Syed Anwar, peguam kanan dan pengerusi Gandhi Memorial Trust Malaysia S. Radhakrishnan serta Naib Presiden Kanan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Max Say.
Organisasi seperti Pejabat OSCE untuk Institusi Demokratik dan Hak Asasi Manusia (ODIHR), Komanwel Negara-negara Merdeka, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), Persatuan Badan-Badan Pilihan Raya Dunia dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga dijemput sebagai pemerhati.
Abdulsalomov juga menekankan pentingnya media membuat liputan pilihan raya, dan menyifatkannya sebagai alat penting dalam proses demokrasi untuk memastikan ketelusan.
Sambil menegaskan media adalah alat penyampai aktiviti pilihan raya kepada masyarakat dan orang ramai, beliau berkata kira-kira 340 wakil media tempatan dan asing terlibat dalam membuat liputan pilihan raya itu.
Sementara itu, beliau berkata senarai pengundi adalah seramai 20,789,572 orang manakala 9,035 pusat mengundi dibuka dengan 44 daripadanya berada di Pejabat perwakilan Uzbekistan di negara asing.
Sejumlah 135 kawasan pilihan raya bagi purata 154,000 pengundi dalam satu daerah, telah diwujudkan, katanya.
Semasa pilihan raya, kira-kira 535 calon dari empat pihak iaitu – Parti Demokratik Liberal, Parti Demokratik Rakyat, Parti Demokratik Milly Tiklanish (Kebangkitan Kebangsaan), dan Parti Demokratik Sosial Adolat (Keadilan) - bertanding untuk merebut 135 kerusi dalam Dewan Undangan Majlis Oliy (Dewan Rendah parlimen Uzbekistan).
Di bawah undang-undang pilihan raya, sebanyak 15 kerusi diperuntukkan untuk Pergerakan Ekologi Uzbekistan di dewan rendah.
Hubungan diplomatik antara Uzbekistan, yang mempunyai 31 juta penduduk, dengan Malaysia bermula pada 1992, setahun selepas republik itu mengisytiharkan kemerdekaan dari Soviet Union pada 1991.
- Bernama

