Jakim: Tarik balik notis tangkap Al-Qaradawi
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendesak agensi polis antarabangsa Interpol menarik balik "notis merah" untuk menahan ulama tersohor Dr Yusuf Al-Qaradawi.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata, usaha untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap presiden Kesatuan Ulama Sedunia itu tidak berasas dan bersifat penganiayaan terhadap cendekiawan Islam itu.
"Perlu diingatkan kita sama sekali menolak sebarang usaha penindasan terhadap mana-mana individu dan umat Islam.
"Perkara ini bukan sahaja akan mengundang sensitiviti umat Islam malah dikhuatiri akan menyebabkan kemarahan umat Islam seluruh dunia," kata Othman dalam satu kenyataan.
Dr Yusuf, menurut Othman, merupakan seorang tokoh ulama kontemporari yang disegani dan dijadikan rujukan semasa bagi masyarakat Islam seluruh dunia.
Malah Malaysia juga pernah menamakan Dr Yusuf sebagai tokoh Maal Hijrah peringkat Antarabangsa pada 2009.
Pemilihan itu dibuat berdasarkan kreteria keilmuan, kesederhanaan yang beliau amalkan yang selari dengan ajaran Islam termasuk menghormati sistem demokrasi yang harmoni.
"Tuduhan yang melabelkan beliau sebagai militan dan menyeru kepada keganasan, adalah tidak berasas.
"Buktinya, beliau berkenaan telah menyatakan pendirian beliau terhadap deklarasi kekhalifahan Islam oleh ISIS pada 5 julai 2014 yang lalu, adalah melanggar syariat malah setiap pandangan dan fakta beliau mempunyai asas yang tidak boleh diertikai," kata Othman lagi.
Interpol dilaporkan mengeluarkan waran kepada Dr Yusuf, 88, berhubung tuduhan yang mengaitkan cendekiawan Islam itu dengan kegiatan Ikhwanul Muslimin.
Beliau dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir untuk pendakwaan dan sabitan hukuman.
Warganegara Mesir dan Qatar itu antaranya dituduh menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara, serta aktiviti vandalisme dan kecurian.

