Lelaki kurang siuman hilang dihanyut arus
Diterbitkan: Dec 23, 2014 8:38 PM | Dikemas kini: Dec 23, 2014 8:39 PM
Seorang lelaki dipercayai kurang siuman dikhuatiri lemas selepas terjatuh dan dihanyutkan arus Sungai Lembing dekat Kuantan hari ini, menurut polis.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata Chew Teck Seng, 63, dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ketika melalui jambatan untuk ke pekan Sungai Lembing pada pukul 10 pagi ini.
Katanya orang ramai yang berada di situ cuba menyelamatkan Chew yang sempat berpaut bagaimanapun pautannya terlepas sebelum dia tenggelam dihanyutkan arus deras.
"Selepas menerima laporan daripada abang mangsa, Chew Teck Hoe, 66, operasi mencari dan menyelamat segera dilakukan dalam usaha mengesan mangsa bagaimanapun sehingga kini mangsa masih gagal ditemui," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Yong berkata jambatan tersebut sudah mula dinaiki air sejak pagi tadi namun Chew tetap menggunakannya.
"Orang ramai yang melihat kejadian (Chew terjatuh) cuba menyelamatkannya dengan mencapai tangannya bagaimanapun usaha itu gagal selepas pautannya
terlepas dan dia terus tenggelam dihanyutkan arus deras," katanya.
Sementara itu, seorang lelaki yang dilaporkan hilang di pantai Kampung Baru Gebeng dekat Kuantan Ahad lepas ditemui mati lemas pada pukul 8.14 pagi ini oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Anuar Hassan berkata, mayat Tan Kok Meng, 37, dari Batu 3 di sini ditemui kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
"Mangsa ditemui masih lengkap berpakaian dan rakannya juga telah membuat pengecaman ke atasnya," katanya dan menurutnya mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat.
Dalam kejadian Ahad lepas, bot fiber yang dinaiki mangsa dan rakannya Cheah Yong San, 33, dari Taman Kurnia Jaya dilaporkan terbalik dipukul ombak ketika mereka memancing di pantai tersebut.
Cheah bagaimanapun dalam kejadian pukul 12 tengahari itu dapat menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.
- Bernama

