BERITA Malaysiakini

PM: K'jaan takkan isytihar darurat

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak mengisytiharkan darurat di kawasan yang teruk dilanda banjir bagi membolehkan mangsa membuat tuntutan insuran atas kerugian.

 

"Walaupun begitu, kerajaan persekutuan telahpun bertindak seperti berada dalam darurat dengan semua aset dikerah untuk bantu mangsa banjir," katanya di Twitter.

Tulisannya di Twitter itu bagi menjawab tuntutan oleh penasihat DAP, Lim Kit Siang dan setiausaha publisiti parti itu, Tony Pua agar kerajaan mengisytiharkan darurat.

"Sekiranya kerajaan umumkan darurat, antara implikasi yang akan timbul ialah pihak insurans akan terlepas daripada bayar ganti rugi...dan ganti rugi disebabkan kerosakan harta benda serta kenderaan adalah tinggi.

"Sebab itu kalau kita declare (isytihar darurat), bererti ini termasuk dalam kategori forced measure, dan syarikat insurans tak perlu jelaskan pampasan," katanya lagi, lapor Bernama .

Najib juga berkata, usaha telah ditingkatkan sepenuhnya seperti dalam keadaan darurat sebenar, dan agensi-agensi berkaitan telah diarah menggiatkan lagi usaha menyelamat dan menambahkan bantuan.

Ditanya mengenai anggaran kemusnahan di seluruh negara akibat bencana ini, beliau berkata, penilaian masih belum dapat dilakukan selagi banjir masih belum reda sepenuhnya.

Dalam sidang media sama, Najib turut berkata beliau amat berbangga dan berterima kasih atas komitmen tinggi dan pengorbanan yang ditunjukkan semua anggota pasukan keselamatan dan penjawat awam di waktu bencana sebegini.

"Memang mereka bertungkus lumus, berkorban besar untuk membantu mangsa banjir. Kerajaan amat menghargai sumbangan yang telah dan sedang dilakukan mereka," tambahnya.