Saham di Bursa Malaysia rendah mengakhiri sesi pagi ini, dipengaruhi oleh kerugian saham-saham berwajaran tinggi utama terpilih, kata para peniaga.
Pada waktu rehat tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.38 mata kepada 1,767.03, selepas bergerak antara 1,753.95 dan 1,770.52, sepanjang sesi urus niaga.
KL Kepong mencatat kerugian paling tinggi, susut 24 sen kepada RM22.06, diikuti Time DotCom yang jatuh 11 sen kepada RM4.79, manakala LPI Capital turun 10 sen kepada RM17.90.
Pada papan skor, Indeks Kewangan jatuh 18.341 mata kepada 15,702.31 dan Indeks Perladangan susut 31.86 mata kepada 7,818.85, namun Indeks Perusahaan naik 9.58 mata kepada 3,207.28.
Indeks FBM Emas merosot 9.069 mata kepada 12,104.2, Indeks FBMT100 jatuh 7.189 mata kepada 11,851.95 dan FBM 70 kurang 0.04 mata kepada 13,111.38.
FBM Ace bagaimanapun menokok 57.5 mata kepada 5,722.06.
Kaunter rugi mengatasi untung dengan 332 berbanding 285, manakala 257 kaunter tidak berubah, 868 tidak diniagakan dan 14 lagi digantung.
Jumlah dagangan 963.51 juta saham bernilai RM640.99 juta.
Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank rugi satu sen kepada RM9.81 dan TNB susut empat sen kepada RM13.90.
Axiata meraih sembilan sen kepada RM7.10 dan Sime Darby menokok lima sen kepada RM9.47 manakala Public Bank kekal pada RM18.40.
Dalam kalangan kaunter cergas, Malayan United Industries meningkat 1.5 sen kepada 30 sen, Pan Malaysia meraih lapan sen kepada 30.5 sen, dan Systech menokok tiga sen kepada 25.5 sen.
Hubline dan Jobstreet masing-masing kekal pada empat sen dan 53.5 sen.
- Bernama
