Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak kenyataan seorang pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa operasi jawatankuasa tersebut dalam pengurusan banjir lumpuh sama sekali.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa bencana MKN bagaimanapun mengakui bahawa terdapat kes melibatkan anggotanya yang terperangkap dalam banjir.

"Kalau lumpuh keseluruhan itu tak betul. Tetapi dalam angka yang ada, 200,000 mangsa yang ada di seluruh negara kita dapat selamatkan.

"Dan menurut polis, 21 kes sahaja yang berlaku kematian," katanya.

Beliau mengulas laporan The Star yang memetik kenyataan setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Laporan itu menyebut, pasukan pengurusan bencananya di peringkat daerah di pantai timur "lumpuh sama sekali" disebabkan kelewatan usaha menyelamat.

Malah, Thajudeen menambah, antara sebab yang menyebabkan MKN "lumpuh" adalah disebabkan pihaknya itu tidak dapat menghubungi pegawai mereka kerana tiada bekalan elektrik.

Selain itu, Muhyiddin berkata, antara perkara yang menyebabkan berlakunya kesukaran untuk menyelamatkan mangsa banjir ialah apabila terdapat kawasan dinaiki air dengan pantas.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan memastikan bahawa perkara sama tidak akan berulang pada masa hadapan dengan membuat persiapan yang lebih baik.

"Ada kawasan terpencil yang kita tak duga air akan naik cepat. Ada helikopter pun tak boleh pakai kerana perkara ini berlaku di luar kawalan.

"Dengan pengalaman yang ada, saya harap perkara tidak akan lebih teruk pada masa hadapan. Kita akan buat persiapan yang lebih baik dan perhalusi dengan lebih mendalam," katanya lagi.