Menteri: Harga istimewa untuk mangsa banjir
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengadakan jualan khas sayur dan ikan di pasar-pasar tani di negeri-negeri terjejas banjir.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jualan itu bertujuan meringankan beban mangsa pasca banjir.
"Ikan akan dijual dengan harga terkawal manakala sayur-sayuran akan dijual dengan harga istimewa dengan potongan 50 peratus di pasar-pasar tani yang dibuka selepas banjir.
"Kobis yang berharga RM2.19 (sebelum banjir) akan dijual dengan harga RM1.10 (selepas banjir) sahaja manakala cili merah RM13 sekilogram (sebelum banjir) akan ditawarkan dengan harga RM7 sekilogram," katanya dalam sidang media mengenai bencana banjir di Wisma Tani.
Ismail Sabri berkata stok ikan masih mencukupi walaupun beberapa negeri dilanda banjir kerana terdapat stok sejuk beku.
Namun begitu, beliau berkata kementerian juga akan mula mengimport ikan untuk disejuk beku bagi memastikan stok mencukupi selepas banjir.
Persatuan Nelayan Kebangsaan (NIKMAT) juga akan membeli ikan dari pihak swasta supaya bekalan ikan boleh bertahan satu hingga tiga bulan, katanya.
Bagi sayur-sayuran pula, Ismail Sabri berkata kira-kira 200 tan akan dihantar ke negeri-negeri yang dilanda banjir setiap minggu bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kementeriannya dan semua agensi di bawahnya telah menyalurkan bantuan berjumlah RM1.82 juta ke lapan negeri yang merangkumi 42 daerah dilanda banjir.
Beliau berkata lapan 'command centre' dan enam depoh bekalan di peringkat ibu pejabat dan semua negeri terlibat telah digerakkan secara bersepadu bagi penghantaran bekalan bantuan ke lokasi terjejas.
“Bantuan yang dibekalkan kepada mangsa banjir meliputi beras, makanan basah, makanan kering dan barang bukan makanan seperti lampin bayi, ubat nyamuk, barangan keperluan harian,” katanya.
Ismail Sabri berkata misi bantuan mangsa banjir yang digerakkan kerajaan adalah berasaskan kemanusiaan dan tiada kaitan dengan agenda politik.
“Sekarang, masa untuk kemanusiaan bukan soal parti politik. Jangan pedulikan kepentingan politik.
“Mangsa banjir perlukan barangan dan bekalan makanan. Yang penting bantuan sampai. Anak dan isteri tidak lapar,” katanya.
Ismail Sabri menyarankan mangsa banjir yang membuat pinjaman Agrobank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) tampil berbincang untuk tempoh pembayaran balik pinjaman.
Beliau berkata terdapat kira-kira 8,800 peminjam Agrobank dengan nilai RM337.18 juta manakala bagi skim pinjaman Tekun Nasional pula terdapat 21,462 usahawan dengan nilai pinjaman RM136.9 juta.
- Bernama

