Kementerian Dalam Negeri menafikan penglibatan pegawai atasan dan timbalan menteri berkenaan dengan syarikat penerbitan tertentu bagi meluluskan nombor permit penerbitan (PP) untuk majalah lucah yang diimport dan bahan cetak rompak.

Penolong Ketua Setiausaha Unit Kawalan Penerbitan KDN, Tengku Mahmood Tengku Ismail berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung mana-mana pegawai atasan yang terlibat dalam 'unsur rasuah' seperti didakwa.

Pada Sabtu lalu, Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia, Rustam A Sani, mendakwa pegawai atasan, menteri dan timbalan menteri berkenaan, dan juga beberapa peguam hak cipta, terlibat dalam skandal tersebut.

"Kami tidak menerima apa-apa aduan. Setiap tuduhan memerlukan bukti," jelas Mahmood kepada malaysiakini pagi ini.

Beliau memberitahu, kuasa meluluskan permit terletak di tangan Menteri Dalam Negeri. Segala urusan pembayaran permit dibuat melalui cek atas nama kementerian dan ia tidak memungkinkan unsur rasuah itu berlaku, katanya.

"Pegawai di sini sebenarnya tidak ada kuasa dalam memutuskan sesuatu perkara (permit). Kalau benarlah tuduhan itu, mengapa beliau (Rustam) tidak membuat sebarang aduan," soal Mahmood seperti dilaporkan malaysiakini Isnin lalu. ("[#1] Ohh, ini rupanya kerja KDN, [/#]" 22 Mei).

Rustam mendakwa menemui "unsur rasuah" KDN itu ketika mengurus sebuah syarikat penerbitan yang mengeluarkan panduan belajar matematik menggunakan watak kartun yang digilai ramai, Doraemon.

"Sebagai orang yang berpengalaman dalam bidang penerbitan, saya tahu hal ini," kata Rustam ketika mempengerusikan Forum Pencabulan Kebebasan Media oleh BN (Barisan Nasional) di Gombak pada Ahad lalu.

Tambah Rustam, tindakan pegawai kementerian, peguam hak cipta dan menteri serta timbalan menteri memberikan nombor permit - seolah-olah bahan penerbitan itu halal di sisi undang-undang dan menghalang kuatkuasa undang-undang.

Sementara itu, Mahmood juga menjelaskan permit akhbar mingguan Eksklusif masih tergantung di pihak menteri.

"Akhbar itu mempunyai masalah dari segi isi kandungannya," jelasnya, mengupas masalah pembaharuan permit akhbar itu yang tamat pada 15 April lalu.

Bagaimanapun pihak pengurusan Eksklusif yang pernah membuat rayuan permohonan mereka kepada Menteri Dalam Negeri tidak mahu mengulas lanjut ketika dihubungi malaysiakini hari ini.