Kira-kira RM132 juta diperlukan bagi membaiki jalan yang rosak akibat banjir di Terengganu, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata daripada jumlah itu, kira-kira RM108 juta bagi membaiki jalan-jalan persekutuan manakala RM24 juta bagi jalan-jalan negeri.

"Kita telah mendapat maklumat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu dianggarkan RM132 juta diperlukan bagi membaiki jalan-jalan yang rosak di seluruh Terengganu.

“Kebanyakan jalan-jalan berkenaan melibatkan daerah Kemaman dan Dungun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan banjir oleh Felcra Berhad dan beberapa badan dan syarikat di Kemaman hari ini.

Turut hadir Pengerusi Felcra Datuk Bung Mokhtar Radin dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Ramlee Abu Bakar.

Ahmad Razif berkata kerajaan juga telah menerima maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan JKR berhubung projek tebatan banjir yang sedang dirancang untuk dilaksanakan di Terengganu bagi mengurangkan ancaman banjir.

"Kita diberitahu peruntukan kira-kira RM400 juta diperlukan bagi membina tebatan banjir yang akan dibuat secara beberapa fasa. Projek ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Bagaimanapun, katanya untuk membina tebatan banjir, ia perlu kajian yang teliti dan kerajaan meminta bahagian teknikal membuat kajian sebelum ia dilaksanakan.

Ahmad Razif berkata untuk pasca banjir, kerajaan negeri akan memberi tumpuan terhadap operasi pembersihan dan mengenal pasti bantuan yang boleh disalurkan kepada mangsa banjir.

Pada majlis itu, Felcra menyumbang RM500,000, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) RM200,000, Terengganu Inc (RM100,000), Telekom Malaysia (TM) (RM50,000) manakala Mamee-Double Decker dan beberapa buah syarikat lagi menyumbangkan barangan makanan dan keperluan lain.

- Bernama