Tiada sebarang wabak penyakit bawaan air dilaporkan di semua pusat pemindahan banjir di Terengganu, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof.
Katanya Pejabat Kesihatan Negeri dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan menempatkan anggotanya di pusat pemindahan banjir bagi mengambil beberapa langkah proaktif seperti mengadakan kempen penerangan serta nasihat dari semasa ke semasa agar setiap mangsa banjir mempunyai kesedaran awal.
"Bagi pusat pemindahan yang melebihi 1,000 mangsa, kita tempatkan pasukan perubatan secara statik.
"Tetapi kurang daripada 1,000 kita adakan pasukan perubatan secara bergerak.
"Malah bagi menghadapi banjir kali ini, kita juga telah membuat pengisian iaitu perkhidmatan sesi kaunseling, mengadakan tazkirah, aktiviti berfaedah, di mana setiap mangsa tidak lagi hanya menunggu makan dan tidur seperti tahun-tahun sebelumnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Pengumpulan Barangan Bantuan Banjir Umno Negeri Terengganu di perkarangan Bangunan Umno negeri di Kuala Terengganu hari ini.
Turut hadir Ketua Pergerakan Pemuda Umno Terengganu Mohd Johari Abu Bakar, Pengerusi MCA negeri, Datuk Toh Chin Yaw, Pengerusi Gerakan negeri Datuk Yap Kea Ping, dan Setiausaha MIC negeri A. Mangaleswaran.
Antara penyakit berjangkit yang mesti diawasi orang ramai pada musim banjir ialah jangkitan saluran pernafasan akut; penyakit tangan, kaki dan mulut; demam kepialu; denggi; leptospirosis serta penyakit kulit.
Muhammad Pehimi yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri berkata sempena majlis itu, Umno Terengganu juga secara serentak mewujudkan di setiap bahagian sebuah pusat pengumpulan yang dibuka selama seminggu bagi mana-mana orang ramai yang ingin memberi sumbangan membantu mangsa banjir.
Menurutnya sebanyak RM30,000 wang tunai dikumpul pada hari ini hasil sumbangan orang ramai, badan bukan kerajaan (NGO) serta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Malah enam buah lori muatan satu tan yang penuh dengan barangan keperluan seperti makanan, air mineral, lampin pakai buang untuk kanak-kanak dan dewasa, ubat-ubatan, pakaian terpakai, selimut serta barangan keperluan di tandas akan digerakkan hari ini ke kawasan-kawasan yang terjejas banjir di negeri ini.
"Buat masa ini, kita akan sampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Terengganu dahulu dan seandainya mempunyai lebihan ataupun tidak diperlukan lagi, kita akan membawa barangan ini ke negeri lain," katanya.
Terdahulu, Muhammad Pehimi hadir di Wisma Darul Iman untuk menerima sumbangan bernilai RM643,000 yang diberi oleh pelbagai syarikat termasuk Felcra Berhad, Hotel Tanjung Vista, Syarikat Air Terengganu dan TDM Berhad untuk mangsa banjir pada pagi tadi.
Beliau juga berharap agar orang ramai meneruskan sumbangan di pusat pengumpulan bantuan banjir yang dibuka di Wisma Darul Iman dan Pejabat Perhubungan Umno negeri Terengganu yang telah mendapat permit dari MBKT untuk beroperasi sebagai pusat penyelaras bantuan itu.
- Bernama
