Kotak hitam QZ8501 ditemui tanpa CVR
Nahas QZ8501: Perakam suara kokpit ditemui
Perakam suara kokpit (CVR) milik pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 telah ditemui di dasar laut dan dibawa naik ke kapal Tentera Nasional-Angkatan Laut (TNI-AL), Indonesia KRI Banda Aceh, pagi tadi.
Menurut laporan MetroTV Indoensia, CVR itu ditemui tidak jauh daripada lokasi penemuan perakam data penerbangan (FDR) di Selat Karimata, Kalimantan dan ia didapati masih kukuh.
FDR dan CVR juga dikenali sebagai kotak hitam. FDR merekodkan semua butiran teknikal berkaitan penerbangan manakala CVR merekodkan semua komunikasi dalam kokpit dan antara juruterbang dengan Pengawal Trafik Udara serta juruterbang dengan pesawat lain yang melakukan penerbangan di sepanjang koridor sama.
Kotak hitam itu ditemui pada koordinat 03" 37.21 S atau 109" 42.42 E dengan kedalaman antara 30 hingga 32 meter iaitu berhampiran tempat ekor bangkai pesawat itu ditemui di kawasan perairan berhampiran Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah.
Alat itu telah dibawa ke Komisi Nasional Keselamatan Transportasi (KNKT) di Jakarta untuk analisa oleh pakar mengikut peraturan antarabangsa.
Menurut Kepala KNKT Tatang Kurniadi, proses analisa data itu bermula dengan membuat transkrip data dan pembacaan data itu akan mengambil masa yang agak lama bergantung kepada keadaan kotak hitam.
Hari ini, memasuki hari ke-16 operasi SAR dijalankan dan dalam tempoh dua hari ini, pihak SAR tidak menemui mayat yang dipercayai masih berada dalam kawasan perairan berkenaan atau terperangkap dalam pesawat yang terbenam dalam dasar laut itu.
Kepala Badan SAR Nasional (Basarnas) Bambang Soelistyo berkata, operasi SAR kini berada pada fasa terakhir namun usaha mencari mayat nahas pesawat malang itu masih diteruskan bagi memenuhi harapan keluarga masing-masing.
Setakat ini, sebanyak 48 mayat telah ditemui dan daripada itu sebanyak 30 mayat telah dikenal pasti identitinya.
Pesawat yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Surabaya pada jam 5.35 pagi dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama (28 Disember).
Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 warga Indonesia, Korea Selatan (3) dan masing-masing seorang rakyat Singapura, Malaysia dan United Kingdom.
Kru terdiri daripada enam rakyat Indonesia dan seorang warga Perancis.
- Bernama

