Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran agar tidak mempolitikkan tindakan pasukannya yang menahan peguam hak asasi Eric Paulsen mengikut Akta Hasutan 1948.

Tanpa menamakan mana-mana individu, beliau berkata golongan tersebut tidak harus “terlalu angkuh” dalam menggunakan kebebasan bersuara.

“Kita semua maklum bahawa setiap kebebasan itu ada batasannya.

“Saya ingin memberi amaran kepada pihak tertentu agar tidak mempolitikkan atau memanipulasi isu tangkapan ke atas Eric Paulsen sehingga boleh menjejaskan keselamatan awam.

“Jangan lakukan sesuatu dengan niat jahat dan jangan sesekali bersekongkol untuk membangkitkan sentimen perkauman dan keagamaan,” kata Khalid dalam kenyataannya hari ini.

Tegasnya, tangkapan ke atas Paulsen adalah tangkapan berlandaskan undang-undang demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan masayarakat berbilang bangsa, kaum dan agama.

"Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa jua yang melanggar undang-undang di negara ini, demi menjaga hak dan kebebasan rakyat untuk hidup aman dan damai tanpa dihasut oleh pihak yang mempunyai agenda tersirat," katanya.

Pasukannnya berjaya mendapat kebenaran untuk menahan reman Paulsen selama 48 jam untuk membantu siasatan.

Pengasas NGO Lawyers for Liberty itu ditahan pada malam tadi untuk siasatan susulan tulisannya yang mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mempromosi ekstremisme.

Beliau diwakili peguam yang juga MP Subang, R Sivarasa.