S Deepa hanya mampu mengalirkan air mata dan terpaksa akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang tetap tidak memihak kepadanya dalam permohonan untuk mendapatkan hak jagaan ke atas anak lelakinya.

Sambil menangis, Deepa memeluk erat anak lelakinya itu yang kini berusia enam tahun di pintu keluar mahkamah selepas prosiding tersebut berakhir.

“Saya nak anak saya tapi sampai sekarang belum dapat lagi,” katanya kepada pemberita sambil menahan esak.

Tambahnya lagi, beliau harus menunggu sehingga mahkamah membuat pendengaran rayuan yang berikutnya.

Deepa yang kelihatan sugul ketika keluar dari bilik bicara berkata beliau sudah lapan bulan tidak menemui anak bongsunya kerana dihalang oleh bekas suaminya, Viran @ Izwan Abdullah.

“Mitran (anak lelaki) cakap dia sayang saya tapi dia pun tak tahu nak buat macamana.

“Kalau saya mahu bercakap dengan anak saya, bapa (Izwan) dia tarik-tarik jadi dia (Mitran) takut jadi dia diamkan diri saja,” katanya lagi.

Ditanya lanjut mengenai perbualan singkat di antara beliau dan Mitran, wanita itu berkata anaknya tidak menangis kerana dalam keadaan ketakutan.

Sementara itu, ibu kepada Deepa, Siti Aisyah Abdullah berkata cucunya harus berada bawah jagaan anak perempuannya memandangkan Izwan telah berkahwin lain.

Beliau turut mendakwa, Izwan sudah lama tidak membawa cucunya pulang ke rumah.

“Saya tak dapat tengok cucu saya. Tengok tadi mak dia hendak tengok pun (Izwan) tak beri, ataupun tunjuk pada saya atau datuk dia.

“Dia harus ada budi bahasa, Islam tidak ajar macam ini,” kata Siti Aisyah.

Izwan muncul bersama Mitran ke mahkamah hari ini.

Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Izwan Abdullah untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi di Seremban yang memberikan hak jagaan anaknya kepada bekas isteri beliau.

Mahkamah tersebut turut membenarkan agar arahan untuk mengambil anak tersebut dan arahan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah ke atas Izwan ditangguhkan.

Izwan membawa anak berusia enam tahun itu ke mahkamah pagi ini.

Dengan itu, anak berkenaan akan kekal bersama bapanya manakala Deepa diberikan hak jagaan ke atas anak perempuan mereka.