'Rakyat M'sia utamakan keseimbangan hidup, kerjaya'
Pekerja di Malaysia lebih mengutamakan keseimbangan kehidupan dan kerjaya berbanding mendapat gaji lebih tinggi atau kemajuan karier, demikian menurut hasil kajian global, firma pengambilan tenaga kerja, Kelly Services.
Kajian Index Tenaga Kerja Global Kelly (KGWI) mendapati hampir dua pertiga (67 peratus) pekerja di Malaysia berpendapat karier yang dapat mengimbangkan antara kehidupan dan kerjaya lebih menarik minat mereka daripada dibayar gaji yang tinggi, berbanding 57 peratus di Singapura, China (65 peratus) dan Thailand (76 peratus).
"Pada masa yang sama, 54 peratus pekerja di Malaysia lebih berminat dibayar gaji yang tinggi dengan jadual kerja lebih fleksibel berbanding 45 peratus di Singapura dan 38 peratus di China," katanya dalam satu kenyataan.
Kajian KGWI bertajuk 'Keutamaan Pekerja dan Kecekapan Tempat Kerja' meliputi 230,000 responden di 31 negara di Amerika, Eropah dan Asia Pasifik.
Bagi Asia Pasifik, 65 peratus reponden mempertimbangkan perkara yang sama pengorbanan kerjaya dan gaji untuk memperbaiki keseimbangan hidup-kerjaya, 48 peratus pula mahu jadual kerja yang fleksibel dan 37 peratus pula berminat melaksanakan kerja khidmat sosial, menurut kajian itu.
-Bernama

