Tahanan hilang watak sebenar bukti tekanan ISA: GMI
Tahanan-tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dilawati keluarga masing-masing tidak menunjukkan perwatakan asal dan membayangkan mereka menerima tekanan berat ketika siasatan polis, kata kumpulan kempen memansuhkan akta itu hari ini.
"Pesanan mereka agar kempen untuk membebaskan mereka dikendurkan membayangkan wujud unsur-unsur ancaman (daripada polis) yang mungkin telah mereka terima," kata pengerusi jawatankuasa kempen Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Zaid Kamaruddin.
( Malaysiakini difahamkan beberapa pesanan daripada tahanan ISA melalui keluarga masing-masing menggesa GMI memberhentikan kempennya dan pembangkang perlu "menolong kerajaan memulihkan ekonomi.")
Setakat Selasa lalu, polis membenarkan keluarga masing-masing melawat lima daripada 10 tahanan. Mereka adalah aktivis-aktivis Parti Keadilan Nasional Mohamad Ezam Mohd Nor, Dr Badrul Amin Baharom, Lokman Noor Adam, Saari Sungib dan pengendali laman web 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin.
Zaid berkata GMI percaya mereka ditahan bersendirian, disoal serta didesak tanpa mengira waktu dan dikenakan tekanan psikologi serta mental yang boleh dikira sebagai satu penyeksaan.
"Selepas apa yang berlaku kepada tahanan-tahanan polis yang lalu, seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Munawar Ahmad Anees, kami amat bimbang terhadap keselamatan mereka," kata Zaid lagi, yang juga Timbalan Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).
Kegagalan polis
Dilancarkan 30 April lalu dengan keanggotaan 76 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik, GMI hari ini mempertikaikan tindakan kerajaan tidak mengguna pakai Kanun Keseksaan bagi menangani kes "ancaman keselamatan" seperti didakwa.
Menurut Zaid, negara-negara yang menghadapi perang saudara seperti di Sri Lanka yang mengguna pakai Akta Keselamatan Awam (Public Security Act) masih mewajibkan seseorang tahanan dibawa ke depan majistret dalam tempoh 72 jam.
"GMI menganggap setiap penahanan di bawah ISA sebagai bukti kesilapan dan kegagalan polis," katanya.
Zaid juga berkata polis pernah mengeluarkan kenyataan bahawa ahli keluarga boleh bertemu dengan tahanan selepas siasatan selesai.
"Oleh itu kita menganggap siasatan ke atas lima tahanan ini sudah selesai dan kita menuntut mereka dibebaskan atau dihadapkan ke mahkamah dengan segera," tambahnya, dan menegaskan bahawa GMI akan meneruskan kempen bagi menyedarkan rakyat tentang kezaliman ISA.
Pertubuhan-pertubuhan gabungannya tengahari tadi melancarkan kempen mogok lapar di depan sebuah hotel di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.
Sementara Sabtu ini, GMI dijadualkan mengiringi keluarga-keluarga tahanan menyampaikan memorandum kepada Ketua Polis Negara di Bukit Aman pada jam 1100 pagi.
Lima lagi pemimpin Keadilan dan aktivis reformasi yang belum dibenarkan sebarang lawatan adalah Naib Presiden Tian Chua, aktivis-aktivis Pemuda parti itu N Gobalakrishnan serta Abdul Ghani Haroon, penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais, dan aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Badaruddin Ismail.
Semua mereka ditahan antara 10 hingga 26 April lalu.

