Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kajian ubah sempadan p'raya S'wak ikut perlembagaan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mematuhi semua proses yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang bertulis lain yang berkuat kuasa dalam urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Setiausahanya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata syor mengenai kajian itu dipamer pada 5 Jan lalu sehingga 4 Feb depan di tempat-tempat yang dinyatakan dalam Notis Persempadanan Semula seperti disiarkan di akhbar-akhbar tempatan untuk tujuan semakan dan bantahan.

Sepanjang tempoh pameran, SPR memberi peluang kepada pihak yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan termasuk 100 orang atau lebih, yang nama mereka ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian-bahagian pilihan raya berkenaan untuk mengemukakan bantahan secara bertulis kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Abdul Ghani menjelaskan jika terdapat bantahan, sesi siasatan tempatan akan dijalankan dan sekiranya terdapat perubahan maka pameran kali kedua syor berkenaan akan dibuat untuk pemeriksaan serta bantahan sebelum laporan akhir disediakan.

"Dalam menjalankan prosedur perjalanan siasatan tempatan tersebut, peruntukan undang-undang telah menurunkan kuasa kepada SPR di bawah Seksyen 6 Bahagian II Jadual ke-13," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Ghani berkata seksyen itu menerangkan segala kuasa SPR dalam menjalankan siasatan tempatan adalah dipandu arah oleh Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Katanya rang pelan yang dipaparkan semasa tempoh pameran adalah mencukupi di bawah peruntukan undang-undang kerana ia adalah syor Kajian Semula Persempadan Semula Bahagian-Bahagian Pilihan Raya dan bukan pelan atau peta yang diguna semasa pilihan raya yang telah diwartakan.

Katanya walaupun di bawah peruntukan undang-undang, rang pelan serta syor-syor awal tersebut hanya perlu disiarkan di dalam sekurang-kurangnya satu akhbar yang diedar di dalam bahagian pilihan raya berkaitan, namun SPR mengambil langkah menyiarkan dalam dua akhbar tempatan di Sarawak, Semenanjung dan Sabah.

"Pada masa sama, SPR mengambil langkah proaktif dengan memberi akses secara digital melalui laman sesawang rasmi suruhanjaya kepada semua pihak walaupun tiada keperluan untuk memuat turun semua notis, syor dan pelan tersebut," kata Abdul Ghani.

Urusan Kajian Persempadan Semula Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak dilaksanakan selaras dengan keputusan Dewan Undangan Negeri pada 11 Nov lepas yang meluluskan pindaan undang-undang untuk menambah jumlah anggota DUN daripada 71 ketika ini kepada 82.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS