Kelantan penerima terbesar sumbangan BAKTI
Mangsa banjir di Kelantan merupakan penerima terbesar sumbangan daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), kata Yang Dipertuanya Datin
Seri Rosmah Mansor.
Rosmah yang juga isteri perdana menteri berkata 5,500 mangsa banjir di negeri ini akan menerima pelbagai bentuk sumbangan daripada Bakti.
"Kelantan menerima sebahagian besar pelbagai sumbangan yang bernilai RM4 juta daripada Bakti yang diperuntukkan kepada empat negeri yang dilanda banjir ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Sumbangan Banjir di Kolej Vokasional Tanah Merah di Tanah Merah hari ini.
Tiga negeri lain ialah Pahang, Terengganu dan Perak.
"Selain itu Bakti akan mengusahakan permintaan untuk memberikan beras kepada 15,000 keluarga yang terjejas banjir di Tanah Merah," katanya.
Rosmah berkata Persatuan Pandu Puteri Malaysia akan membina sebuah bilik bacaan untuk kanak-kanak di Gua Musang bagi membolehkan mereka mengulang kaji pelajaran.
Katanya persatuan itu juga akan menempatkan tiga klinik bergerak di Gua Musang bagi kemudahan penduduk di jajahan itu selama setahun.
Ini semua akan ditanggung Persatuan Pandu Puteri," kata Rosmah yang juga Yang Dipertua persatuan berkenaan.
Mengulas lawatannya ke Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah bagi melihat sendiri kesan bencana banjir buruk yang berlaku baru-baru ini, Rosmah berasa amat pilu melihat kesengsaraan yang dialami mangsa banjir.
"Saya tidak sangka keadaannya begitu teruk dan sedahsyat ini... saya berharap mereka akan ditempatkan di penempatan sementara yang selesa sehingga kerajaan dapat membina semula rumah mereka," katanya.
- Bernama

