Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selalunya sebelum konferensi utama, Jawatankuasa Eksekutif PIUC akan bertemu terlebih dahulu bagi membincang urusan pentadbiran PUIC untuk persediaan urusan yang belum beres.

Segala perbincangan dan adaptasi keputusan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang lalu di Rabat, Maghribi menjadi asas agenda perbincangan.

Saya hadir atas sifat keanggotaan Malaysia yang dilantik semasa persidangan di Palembang beberapa tahun yang lalu. Menjadi anggota Jawatankuasa Eksekutif bermakna mempunyai suara menentukan perjalanan PUIC dan agenda yang ingin ditetapkan.

Isu keganasan

Setiap negara yang menjadi tuan rumah akan cuba menjadi yang terbaik dan nama Istanbul itu sendiri telah memberi makna yang berprestij oleh kerana bandarayanya yang terkenal dengan sejarah Islam yang merupakan pintu masuk ke Eropah.

Mesyuarat dirasmikan oleh Speaker Parlimen Turki dan kemudiannya prosiding mesyuarat diteruskan dengan diwakilkan kepada salah seorang ahli parlimen Turki untuk mengendalikan mesyuarat.

Agenda besar yang perlukan persetujuan ialah keanggotaan Nigeria, tindakan susulan resolusi Tehran dan menerima cadangan awal UAE tentang memerangi ekstrimism intelek.

Agenda utama ialah isu keganasan yang melanda dunia Islam seperti benua Afrika yang berhadapan dengan Boko Haram, negara Arab dengan IS dan rantau Asia dengan rangkaian al-Qaeda yang mengambil rekrut baru.

Menarik juga ialah, bersama dengan bala keganasan ini, isu pemikiran intelek yang mempengaruhi pemikiran anak muda turut dibincangkan. Saya membawa sikap rasmi Parlimen Malaysia yang mengecam sekerasnya unsur keganasan melalui pembentangan kertas putih yang disokong sebulat suara oleh Parlimen Malaysia.

Saya juga menyebut tentang usaha Malaysia di peringkat global dengan menyertai UNAOC atau United Nation Alliance of Civilization yang antara lainnya adalah inisiatif Turki dan usaha mewujudkan GMM (Global Movement of Moderates).

Ini adalah forum-forum antarabangsa dan saya perlu membawa dasar rasmi walaupun pada perlaksanaannya di peringkat lokal negara saya boleh mengritik keberkesanannya.

Berjumpa sahabat lama

Mesyuarat ditangguh jam 1 petang dengan semua cadangan akan dibuat tindakan susulan termasuk cadangan Malaysia mewujudkan jawatankuasa susulan daripada setiap kumpulan negara terdiri dari Kumpulan Arab, Kumpulan Afrika dan Kumpulan Asia.

Ini bagi memudahkan pihak setiausaha agung mengumpul maklumat untuk laporan pada perhimpunan akan datang.

Hari pertama di Turki cukup istimewa kerana saya akan bertemu dengan seorang sahabat lama saya dari Turki yang pernah belajar sekali dengan saya di Mesir sekitar tahun 80-an dahulu.

Menariknya ialah ia berlaku secara kebetulan kerana semasa hendak ke Turki saya meminta nombor telefon orang yang boleh dihubungi di Turki daripada sahabat saya, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Dr Syed Azman memberikan nombor telefon rakan dari parti Saadet bernama Hassan. Saya berjaya menghubungi Hasan sejurus sampai di Istanbul dan semasa perbualan kami, barulah kami sedar bahawa kami pernah bersama di Mesir dalam majlis pelajar.

Saya memang mempunyai ramai kenalan dari Turki antaranya Anas dan Hasan yang sering kami kunjung mengunjung antara satu sama lain.

Selesai mesyuarat kami bertemu di lobi Hotel Hilton tempat penginapan dan berlangsungnya konferensi. Hampir 20 tahun tidak bertemu, saat pertemuan dalam dakapan ukhuwah dua sahabat dari benua berbeza seolah sukar untuk dirungkaikan.

Hasan atau nama penuhnya Hasan Bitmez adalah Naib Presiden Parti Saadet yang mempunyai kaitan dengan nama besar politik Islam Turki iaitu Necmettin Erbakan.

Beliau sampai ke tahap karier politiknya hari ini menuai hasil sejak ia terlibat lebih awal lagi dengan kegiatan Pemuda. Di Mesir kami sering berbual dan bertukar pandangan tentang politik Islam dan dinamika politik Malaysia dan Turki.

 

Berbual perjuangan dan politik

Perbualan kami di lobi terus membawa kami ke perbualan makan tengahari bersama-sama di sebuah restoran di tepi Selat Bospherous.

Saya ingin berkongsi pengalaman beliau dalam membawa diri di arus politik kepartian, bagaimana beliau melaluinya dan apakah cabaran dalaman partinya serta bagaimana cita-cita poltiknya dapat membawa partinya ke pesada kuasa.

Saya bertanya demikian supaya dapat saya mempelajari sesuatu untuk memperbaiki diri saya.

Secara ringkas, kami berkongsi masalah yang sama untuk berada dalam lingkungan parti, iaitu membawa diri dengan berhati-hati menguruskan sikap dan pandangan yang berbeza dalam parti.

Bagaimana menghargai jasa dan pendapat para senior dalam parti walaupun kita mempunyai pandangan tersendiri adalah satu cabaran besar.

Kami juga bersetuju bahawa memelihara prinsip dan pada waktu yang sama menerokai peluang politik adalah satu skil kepimpinan yang halus.

Dengan kata lain mentakrifkan apa yang prinsip dan apa yang boleh berubah amat perlu supaya perkembangan parti tidak terjejas.

Beliau berkongsi asas ini melalui pengalaman Necmettin Erbakan yang padanya adalah amat fleksibel dalam menerokai peluang politik tanpa perlu hilang prinsipnya.

Erdogan atau Erbakan

Saya berseloroh dengan Hasan bahawa di dalam parti saya, saya digelar sebagai ‘puak Erdogan’ kerana sikap keterbukaan dan perubahan yang kami cuba bawa.

Beliau agak terkejut apabila gelaran Erdogan diberi disebabkan pendekatan terbuka saya, kerana bagi beliau, saya perlu digelar ‘puak Erbakan’.

Necmettin Erbakan katanya sebagai pengasas politik Islam Turki telah membawa pendekatan politik terbuka melalui kerjasama partinya dengan semua aliran termasuk komunis.

Erbakan juga dalam melebarkan strategi politik Islamnya membentuk kerajaan bersama dengan pemimpin wanita dari parti nasionalis sekular dan begitu juga pandangan Erbakan kepada kompromi kerangka negara sekular Turki dalam membawa cita politik Islamnya yang dianggap taboo oleh ideologi negara.

“Mengapa anda digelar Erdogan? Patutnya anda digelar Erbakan! ujarnya. Saya menggeleng kepala tanda kebingungan dengan perspektif baru yang dilontarkan oleh Hasan.

Bagi sesetengah orang dalam PAS keterbukaan itu seolah dimonopoli oleh pemikiran politik Erdogan yang kononnya mahu melepaskan diri dari ‘lambatnya’ langkah politik Erbakan yang hakikatnya tidak mahu melepaskan prinsip Islam yang dibawanya dalam usahanya ke pesada kuasa.

Teori ini seolah dicabar oleh Hasan dalam memahami bahawa hakikatnya Erbakan adalah lebih layak digelar terbuka dalam konteks menerjah peluang politik tanpa menggadai prinsip dan bukan Erdogan.

Apa jadi kepada Erdogan

Erdogan mengasaskan parti AK atau Parti Keadilan dan Pembangunan untuk berpisah dengan parti Refah/Fazilet pimpinan Necmettin Erbakan. Sebelum berpisah, pandangan berbeza Erdogan dengan Erbakan melahirkan perbincangan yang panas dalam Refah tentang strategi politik ke pesada kuasa.

Kemuncak polemik menyaksikan Erdogan memilih jalan untuk berpisah dan menumpukan kepada ide politik barunya untuk ke pesada kuasa.

Namun sebenarnya apakah yang berlaku?

Hasan memberikan tiga point utama yang memisahkan Erdogan dan Erbakan dan menurut pandangan Hasan, tiga point tersebut adalah persoalan prinsip yang tidak boleh dikompromi. Ia melibatkan isu hubungan Turki dengan Kesatuan Eropah (EU), hubungan Turki dengan Israel dan konsep ekonomi adil.

Dalam isu hubungan Turki dengan EU, semua sedia maklum bahawa Turki cuba untuk menempatkan dirinya dalam negara EU memandangkan kepada faedah ekonomi yang melimpah apabila ia menjadi sebahagaian dari pasaran besar Eropah.

Namun syarat kemasukan menuntut Turki memenuhi kriteria kebebasan termasuk kompromi kepada beberapa nilai-nilai perundangan Islam di Turki.

Point kedua ialah hubungan Turki dengan Israel di mana Turki mempunyai nilai perdagangan yang besar dengan Israel termasuk membeli alat persenjataan.

Point terakhir ialah agenda ekonomi adil yang cuba dibawa oleh Erbakan yang menyeru kepada ekonomi dan pinjaman bank tanpa riba. Turki hari ini tidak dapat lari daripada bank riba dan perniagaan riba yang menyusahkan rakyatnya kerana di sini tidak diamalkan perbankan tanpa riba.

Hasan menegaskan bahawa Erdogan tidak dapat menerima ketiga-tiga point ini sebagai prinsip malah menganggap perkara inilah yang menghalang parti Islam untuk ke pesada kuasa dan lantas membuat keputusan untuk berpisah dan mengasaskan parti AK.

Dengan kata lain untuk memahami bagaimana Erdogan berpisah dengan Erbakan, kita perlu memahami tiga point yang membentuk prinsip politik Erbakan yang tidak mahu Turki menggadaikan nilai keislaman dalam perundangannya untuk bersama EU, tidak mahu hubungan dengan Israel dan mengajak kepada ekonomi tanpa riba.

Akhirnya mereka terpaksa berpisah dan pertembungan ini seolah ditanggapi sebagai politik lama vs politik baru.

Saya tidak mahu komen, kerana isu keterbukaan yang saya dan rakan-rakan dalam PAS cuba bawa tidak ada kena mengena dengan prinsip yang memisahkan Erdogan dan Erbakan. Lagipun konteks Turki yang totok sekularnya dan Eropah sifatnya tidak boleh disamakan dengan Malaysia yang mempunyai konteks politiknya yang tersendiri.

Terus terang saya katakan, saya tidak pernah bersetuju dengan gelaran-gelaran yang diberikan termasuk jolokan nama golongan liberal dan sebagainya kerana ia menggambarkan betapa ceteknya kita dalam memahami sesuatu tindakan politik tanpa memahami terlebih dahulu apakakah ianya prinsipal atau taktikal.

Berpisah untuk bertemu lagi

Kami mengakhiri pertemuan dua sahabat dari benua berasingan di Masjid Biru (Blue Mosque), kerana Hasan terpaksa berkejar ke lapangan terbang untuk penerbangan ke Ankara dengan menaiki keretap bawah tanah. Di hadapan Masjid Biru kami berpelukan setelah berkongsi pengalaman berharga.

Melalui Hasan juga saya sempat berbual telefon dengan Anas yang kini menetap di Hamburg, Jerman. Anas kini bertugas sebagai Imam dan pengendali haji dan umrah untuk masyarakat Turki di Hamburg.

Saya bertuah untuk berhubung semula dengan sahabat lama dari Turki dan di hadapan Masjid Biru juga kami berjanji untuk bertemu lagi kerana rindu berpuluh tahun belum ditagih.

Saya mendoakan Hasan Bitmez agar terus berjuang dan istiqamah dalam karier politiknya, saya tahu suasana di Turki lebih sukar tetapi Hasan yang bertubuh besar mempunyai jiwa yang besar dan kesetiannya saya perlu pelajari.

Beliau katanya akan mengetuai aktiviti kempen partinya dalam pilihan raya bulan Jun ini. Saya doakan yang terbaik buat diri dan partinya.

Kelibat Hasan semakin menghilang dicelah mundar-mandir manusia di perkarangan Masjid Biru, saya pula bergegas untuk solat Asar dalam cuaca dingin Istanbul menuju ke dewan solat.


DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA MP Parit Buntar dan ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Lihat Komen
ADS