Polis siasat kes video penyanyi bergari
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pasukannya akan menyiasat individu yang merakam dan memuatkan video menunjukkan seorang penyanyi lelaki buat persembahan dalam keadaan bergari.
“PDRM akan siasat dan ambil tindakan tegas terhadap orang yang merakam dan muat naik video Zamani nyanyi semasa bergari,” kata Khalid di Twitter.
Video pendek sepanjang kira-kira satu setengah minit tersebut menunjukkan bekas penyanyi kumpulan pop Slam itu duduk di atas rantai dengan tangan bergari.
Rakaman itu menunjukkan Zamani, 44, menyanyikan sebuah lagu pop mengenai masalah putus cinta yang dipopularkan kumpulan tersebut.
Laporan portal mStar Online hari ini menyebut, pengurus penyanyi tersebut akan mengambil tindakan ke atas pihak yang bertanggungjawab menyebabkan rakaman itu tersebar.
Pengurus penyanyi tersebut, Johan Aziz berkata, rakaman yang dimuatkan di Youtube itu mengaibkan Zamani.
Semalam, Bernama melaporkan polis menahan seorang penyanyi terkenal era 1990-an dan teman wanitanya kerana dipercayai memiliki dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Keramat.

