Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketika diwawancara dalam rancangan ‘Soal Jawab’ TV3 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan terus komited mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam negara dengan memastikan tiada pertelingkahan kaum yang serius terjadi.

Dan beliau berkata akan melakukan yang terbaik untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

Beliau menekankan bahawa sebagai perdana menteri, beliau bertanggungjawab terhadap semua rakyat Malaysia dan akan melakukan yang terbaik untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

Ketika kita mengalu-alukan jaminan Najib itu, perlu dinyatakan bahawa Najib yang bakal genap enam tahun menjadi perdana menteri dalam masa kurang tiga bulan lagi, masih belum membuktikan bahawa beliau adalah perdana menteri untuk kesemua rakyat Malaysia.

Beliau juga belum membuktikan bahawa beliau adalah perdana menteri yang tidak mengira kaum, agama atau daerah, dan merupakan pendukung utama politik keterangkuman dan kesederhanaan, dan bukan membenarkan retorik dan politik eksklusif dan ekstremis terbiar bebas dalam negara.

Tiada sesiapa yang sangsi dengan kefasihan Najib mempromosikan perjuangan kesederhanaan di lingkaran antarabangsa, dengan inisiatif Pergerakan Kesederhaan Sedunia yang tiga kali dipromosikan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Namun malangnya, Najib belum lagi mengotakan kata-katanya di forum-forum antarabangsa, di tanah air sendiri.

Semakan Belanjawan 2015

Seandainya Najib boleh melaksanakan 10 peratus sahaja daripada kepercayaan dan dukungannya terhadap prinsip kesederhanaan dalam negara, beliau pastinya lebih berjaya memenangi kepercayaan dan keyakinan rakyat Malaysia.

Sebaliknya, Najib mempunyai reputasi sebagai perdana menteri dengan nilaian populariti terendah.

Pungutan suara Edelman Trust Barometer 2015 mendapati bahawa hanya 45 peratus rakyat Malaysia mempunyai keyakinan terhadap Putrajaya. Ia merudum berbanding tahun lepas pada kadar 54 peratus.

Kegagalan Najib untuk menjadi pendukung utama politik keterangkuman dan kesederhanaan boleh dilihat melalui keengganannya untuk mengadakan sidang parlimen khas bagi menyemak semula Belanjawan 2015, ataupun melibatkan pemimpin dan ahli parlimen Pakatan Rakyat berbincang sebelum menyiapkan semakan semula belanjawan tahun ini.

Malah, bukan sahaja pemimpin BN, tetapi menteri kabinet pun tidak diajak bersama dalam proses merencana dan menyiapkan semakan semula Belanjawan 2015.

Mesyuarat kabinet semalam pula sekadar diberikan keputusan semakan semula Belanjawan 2015 yang diumumkan sehari sebelumnya.

Pemimpin Pakatan berulang kali menyebut bahawa kami bersedia bekerjasama dengan perdana menteri dan Putrajaya untuk memajukan hasrat ke arah rekonsiliasi nasional. Namun perdana menteri belum melayan tawaran ini.

Komitmen Obama vs Najib

Dalam perutusan State of The Union semalam, presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata:

“Jika anda turut berkongsi gagasan yang saya gariskan malam ini, bekerjalah bersama saya.

“Jika anda tidak setuju dengan beberapa bahagian, saya harap anda akan bekerjasama dengan bahagian-bahagian yang lain. Saya harap anda akan bekerjasama dengan saya, di bahagian yang anda setuju.

“Dan saya memberi komitmen kepada semua pemimpin Republican di sini malam ini, bahawa saya bukan sahaja akan mendapatkan idea daripada kalian, saya malah akan bekerjasama dengan ada demi menguatkan negara ini.”

Kini timbul kontroversi sama ada Obama akan mengotakan katanya terhadap komitmen yang dibuat dalam perutusan State of The Union itu.

Tetapi di Malaysia, Najib masih belum membuat komitmen untuk bersedia bekerja dengan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira perbezaan politik.

Dan perdana menteri pun masih lagi belum memberi sebarang respon kepada 25 orang tokoh Melayu yang telah mengutus surat terbuka kepadanya satu bulan yang lalu.


LIM KIT SIANG ketua parlimen DAP merangkap ahli parlimen Gelang Patah.

Lihat Komen
ADS