Bekas banduan pecah masuk sekolah dipenjara
Seorang bekas banduan dipenjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini selepas mengaku bersalah memecah masuk sebuah sekolah dengan mencuri 10 telefon bimbit pada Oktober tahun lepas.
Majistret Surya Wati Shawal menjatuhi hukuman itu ke atas Mohd Saiful Nizam Mohd Ikbal, 29, dan memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 29 Jan.
Mohd Saiful Nizam yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 4, Kota Damansara, di Petaling Jaya pada 7 malam 28 Okt hingga 6 pagi 29 Okt tahun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun dan boleh dikenakan denda.
Ketika rayuan, tertuduh memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan ke atasnya yang mengaku telah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu, selain dia baru sahaja selesai menjalani hukuman penjara atas pertuduhan dadah.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Bukhari Wan Mohd memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan tertuduh.
-Bernama

