Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai bersedia menemui Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu menjelaskan kenyataannya berhubung keengganan peniaga menurunkan harga barang.

    

Perjumpaan itu akan dibuat demi perpaduan dan juga aktiviti yang perlu dilaksanakan bersama untuk menjaga perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini, katanya yang juga menteri pengangkutan.

    

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen

Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan sempena perayaan Tahun Baharu Cina

2015 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan di sini hari ini.

    

Baru-baru ini, Ismail Sabri dalam satu kenyataan meminta rakyat memboikot pemborong dan peniaga yang masih enggan menurunkan harga barang.

    

Semalam, Ismail Sabri berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Liow bagi menjelaskan kenyataannya berhubung peniaga yang enggan menurunkan harga barang.

    

Ismail Sabri berkata pertemuan itu dijangka diadakan sebelum Tahun Baru Cina bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

    

- Bernama