Adik tahanan ISA disiasat kes ugut polis
Adik seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Badaruddin Ismail menerima surat daripada polis agar memberikan keterangan berhubung satu laporan polis terhadapnya.
Azman Ismail berkata surat itu yang diterimanya pada Selasa lalu tidak menyebutkan pihak yang membuat laporan itu atau sebarang dakwaan yang jelas. Menurutnya, surat tersebut hanya meminta beliau memberikan keterangan bagi siasatan di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan.
"Saya akan menulis surat untuk meminta satu salinan laporan polis berkenaan kes ini. Saya akan menuntut beberapa perkara termasuklah maklumat terkini tentang keadaan abang saya dan pembebasannya," kata Azman kepada malaysiakini .
Azman menambah, beliau percaya aduan itu dibuat oleh seorang pegawai kanan polis di ibu pejabat polis Bukit Aman yang cuba dihubunginya sejak penahanan Badaruddin.
"Tetapi nampaknya beliau (pegawai itu) masih mengelakkan diri daripada saya. Baru-baru ini, rakan saya seorang peguam memberitahu saya bahawa pegawai itu menuduh saya mengancam keselamatannya," kata Azman.
Ketika dihubungi malaysiakini , Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohd Bakri Mohd Zinin mengesahkan terdapat satu aduan dibuat terhadap Azman minggu lepas. Bagaimanapun Moh Bakri enggan memberikan maklumat lanjut.
Badaruddin ditahan di bawah ISA sejak April 26 lalu selepas sembilan pemimpin Parti Keadilan Nasional dan aktivis reformasi ditahan sejak 10 April lalu. Pada hari itu, Azman membuat kenyataan mengecam tindakan polis menahan abangnya.
Azman juga berucap dalam beberapa kempen menentang ISA, termasuk 'Kempen Mogok Lapar untuk Kebebasan' yang dilancarkan oleh sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan sejak semalam.
Setakat ini, keluarga Badaruddin masih tidak dibenarkan berjumpa dengan tahanan berusia 56 tahun itu.
Permohonan habeas corpus Badaruddin bersama dua lagi tahanan akta itu, Dr Badrul Amin Baharom dan Lokman Noor Adam, difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jumaat lepas. Tarikh perbicaraan kes itu bagaimanapun belum ditetapkan.

