Hudud: PAS, DAP terus bertegang leher
PAS dan DAP terus bertegang leher mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan dengan kedua-dua parti enggan berganjak dari pendirian mereka berhubung pelaksanaannya.
Pengerusi biro perundangan DAP, Gobind Singh Deo antara lainnya membangkitkan bahawa exco Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan bertindak memutar belitkan fakta berhubung isu berkenaan.
Katanya, persetujuan yang dicapai dalam Pakatan untuk “bersetuju untuk tidak bersetuju” tidak bermaksud bahawa PAS boleh meneruskan rancangan tersebut.
“Sekiranya PAS meneruskan dengan rancangan ini, ianya akan dilihat sebagai tindakan yang bertentangan dengan Pakatan Rakyat.
“Ini kerana rang undang-undang itu tidak mempunyai sokongan Pakatan Rakyat dan hudud juga bukan sebahagian daripada Dasar Bersama Pakatan Rakyat,” kata Gobind dalam kenyataannya.
Beliau berkata, PAS tidak boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan visi sesebuah organisasi dan pada masa sama mendakwa komited dengan tujuan Pakatan.
“Jika hal yang demikian terjadi juga kita akan dilihat seolah-olah berpatah arang dengan organisasi tersebut. Akan kelihatan nanti bahawa kita sudah tidak lagi sebahagian daripada organisasi itu,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Takiyuddin semalam yang menegaskan bahawa PAS tidak akan tunduk kepada DAP dalam usaha melaksanakan Enakman Kanun Jenayah Syariah II 1993.
Takiyuddin yang juga Ketua Sekretariat Tetap Kanun Jenayah Syariah Kelantan semalam menyarankan agar DAP keluar daripada Pakatan sekiranya tidak bersetuju dengan rancangan itu.
Sementara itu, PAS melalui timbalan ketua pemudanya, Nik Abduh Nik Aziz menyifatkan DAP bersifat kebudak-budakan kerana tetap berkeras agar parti itu tidak meneruskan pelaksanaan hudud.
“Jika DAP marah-marah, tidak puas hati dengan PAS, itu bukan bermakna PAS telah menzalimi atau tidak berlaku adil kepada rakyat Malaysia atau DAP.
“Ia hanyalah kerana PAS gagal memenuhi kehendak DAP. Samalah macam anak-anak yang menghentak-hentak kaki tak puas hati di depan ibunya.
“Ia soal tak dapat apa yang dimahukan. Itu sifat semula jadi anak-anak kecil. Masalah agungnya ialah DAP bukan anak-anak lagi,” katanya lagi di Facebook.

