Wanita pernah lumpuh, hidap kanser jadi inspirasi
Kesungguhan untuk meneruskan kehidupan demi membesarkan anak tunggalnya meskipun pernah lumpuh dan menghidap kanser ovari menjadikan T. Malathi dipilih menerima Anugerah Phoenix, bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia.
Anugerah itu, pengiktirafan terhadap wanita yang menjadi pendorong motivasi dan lambang inspirasi untuk diteladani, disampaikan kepada Malathi, 50, pada majlis anjuran O'Phoenix Voice Of Woman di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di Kuala Lumpur malam tadi.
Anugerah dan sijil penghargaan itu disampaikan Anggota Lembaga Penasihat DBKL Datuk P. Gunaseelan.
Ketika ditemui Bernama, Malathi berkata kehilangan suami akibat kemalangan jalan raya 17 tahun lepas, kemudian dia pula lumpuh akibat terjatuh dan terlantar selama tiga bulan, membuatkannya hampir berputus asa.
"Namun apabila saya mampu bergerak kembali, saya merasakan seolah-olah mati hidup semula," kata pengusaha kedai jahit di Sentul itu.
Ujian datang tanpa diduga, kali ini dia diuji pula dengan penyakit kanser ovari pada November lepas, bagaimanapun, wanita ini tetap tabah mengharungi hidup bersama anak lelakinya E.Kaveeraj, 17, yang menjadi pendorong utama untuk dia terus melangkah.
Setelah menjalani rawatan selama sebulan di sebuah hospital kerajaan, Malathi kini kembali sihat.
"Kehidupan sebagai ibu tunggal sememangnya mencabar dan kita jangan sesekali rasa takut untuk meneruskan kehidupan. Yakinlah setiap masalah atau ujian yang datang akan menjadikan kita semakin kuat.
"Saya berharap anugerah yang saya terima ini akan menjadi teladan kepada wanita lain terutama generasi muda yang masih berkhidmat serta menyumbang kepada masyarakat dan negara," katanya.
Pada majlis itu, turut menerima anugerah ialah S. Leena Mary, 58, bagi Anugerah Kepimpinan Terbaik dan Rafiquah Mohd Khalid, 60, bagi Anugerah Kerja Sosial.
O'Phoenix Voice Of Woman merupakan badan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada 2014, menyediakan pelbagai program pembangunan berbentuk jayadiri dan kemudahan sokongan khusus untuk wanita bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti ekonomi dan sosial.
Sementara itu Presiden O'Phoenix Voice Of Woman, Khrisna Rajmohan berkata anugerah tersebut sebagai memberi pengiktirafan kepada sumbangan besar kaum wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara.
- Bernama

