Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad ditahan reman selama tiga hari susulan penganjuran demonstrasi pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim hujung minggu lalu.

Majistret Mohd Azali Ibrahim membenarkan tahanan reman untuk siasatan bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Nik Nazmi, yang juga exco pengajian tinggi Selangor, ditahan di balai Dang Wangi, Kuala Lumpur tengah hari semalam selepas hadir di situ untuk memberikan keterangan polis.

Dalam tweetnya, Pemuda PKR memaklumkan wakil rakyat Seri Setia itu direman di lokap balai polis Jinjang, Kepong sehingga Rabu ini.

Ketua pengarah NGO Lawyers For Liberty, Eric Paulsen, berkata Nik Nazmi "berada dalam keadaan terus bersemangat, beliau menggesa kita teruskan perjuangan."

Sabtu lalu, kira-kira 10,000 penyokong pembangkang menganjurkan demonstrasi Kita Lawan. Nik Nazmi bersama barisan kanan PKR berarak dari kompleks membeli-belah Sogo ke menara KLCC.

Selain mendesak pembebasan Anwar, mereka juga menuntut pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Sementara itu, dalam tweetnya yang terbaru, Paulsen berkata pihaknya memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung tempoh tahanan reman yang dianggap "keterlaluan dan salah mengikut undang-undang."