Polis memberi kata dua kepada penganjur perhimpunan setiakawan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur kelmarin supaya menyerah diri untuk disiasat atau menjadi buruan pihak berkuasa.

“Jika tidak kita akan cari mereka,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ( kanan ).

Kumpulan itu, dikenali “Kita Lawan”, pada Sabtu menganjurkan perhimpunan yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Selain menyatakan setiakawan dengan Anwar, mereka juga mendesak pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Setakat ini dua orang ditahan polis, termasuk Ketua Pemuda PKR (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad dan pemimpin akar umbi pergerakan itu Saifullah Zulkifli.

Sementara itu, Khalid juga diminta mengulas kritikan terhadap polis bahawa penangkapan itu dibuat menggunakan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman yang bertentangan dengan perlembagaan.

“Ketika sesuatu isu itu sedang dirayu, kamu belum boleh kata ia bertentangan dengan perlembagaan, kecualilah ia dimuktamadkan,” katanya.

Mahkamah Rayuan dalam kes berkaitan perhimpunan Black 505, yang menyatakan tidak puas hati terhadap keputusan pilihan raya umum lalu, memutuskan seksyen itu bertentangan dengan perlembagaan.

Seksyen kontroversi itu memperuntukkan keperluan notis 10 hari untuk mengadakan sesuatu perhimpunan.

 

[Baca berita asal]