Sokong hudud? MP Umno tak sekepala
Sepertimana PAS, kalangan MP Umno juga masih berbelah bagi dalam menyatakan sokongan untuk membolehkan Enakmen Kanun Syariah II Kelantan 1993 berkuatkuasa.
Seorang daripadanya, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek berkata, Umno akan menyokong kerana ia merupakan sebahagian dari Islam.
"Umno tidak boleh dilihat menentang apa sahaja yang dituntut oleh Islam, dan kita sentiasa berpendirian sebegini,” katanya MP Kemaman itu.
“Sekiranya undang-undang ini didapati mematuhi rukun Islam, maka Umno akan menyokongnya,” katanya.
Sementara itu, MP Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed pula berpendapat, pelaksanaan hudud bukan satu keutamaan pada masa ini.
"Saya sentiasa berpegang pada pendirian saya bahawa hudud tidak harus dilaksana pada masa ini.
"Mereka sepatutnya menumpukan pasa usaha membangunkan Islam dan bukannya menghukum orang Islam,” katanya kepada pemberita di Parlimen.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara itu berkata, banyak lagi isu penting yang perlu ditumpukan oleh kerajaan Kelantan seperti isu hak wanita dan pembangunan infrastruktur.
"Di Kelantan, wanita tidak boleh pergi ke panggung wayang dengan pasangan berlainan jantina kerana mereka perlu duduk berasingan di dalam panggung.
"Mereka tidak boleh duduk bersama dan ini tidak adil bagi wanita. Kita perlu buat perkara lain yang dikehendaki oleh Islam seperti membangunkan negara dan memberi hak kepada wanita,” katanya.
Kelantan berhasrat untuk menggubal perubahan tersebut melalui satu rang undang-undang persendirian memandangkan hukuman hudud seperti potong tangan dan rejam melampaui kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Mahkamah Syariah.
Pengerusi Majlis Penyokong BN Tan Sri Shahrir Samad semalam mengesahkan bahawa para MP di kalangan gabungan parti itu boleh mengundi “mengikut hati nurani sendiri”.
Kalangan anggota BN dari Gerakan MCA, masing-masing dengan seorang dan tujuh orang MP, menyatakan pendirian mereka menentang pelaksanaan kanun syariah itu.
Nur Jazlan juga berkata, Rang Undang-Undang Persendirian itu mungkin tidak akan berjaya melepasi persidangan Dewan.
"Mana-mana rang undang-undang yang bertentangan dengan perlembagaan akan ditolak oleh Speaker secara automatik kerana MP tidak dibenarkan untuk meluluskan undang-undang yang bertentangan dengan perlembagaan,” tambahnya.

