Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis bebas penerbit, ketua eksekutif TMI
Diterbitkan:  Apr 1, 2015 1:40 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Polis hari ini membebaskan penerbit The Edge Media Group, Ho Kay Tat dan ketua eksekutif The Malaysian Insider , Jahabar Sadiq selepas ditahan kira-kira 24 jam.

Polis tidak memohon untuk menahan reman Ho dan Jahabar, kata peguam, Syahredzan Johan, lapor Reuters.

“Pegawai penyiasat memutuskan bahawa sebahagian besar daripada siasatan sudah siap,” katanya.

The Edge Media group merupakan pemilik The Malaysian Insider.

Ho dan Jahabar ditahan semalam, sehari selepas penahanan tiga orang editor portal tersebut berhubung satu laporan mengenai pelaksanaan hudud.

Selain NGO dan petugas media, penahanan tersebut terus menerima kecaman Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor.

Setiausaha BBC Lau Weng San berkata, tindakan polis itu merupakan usaha untuk menekan kebebasan media di negara ini.

Malah, katanya, tindakan itu bercanggah dengan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan Malaysia sebuah negara yang sederhana (moderate).

"Penahanan dan penangkapan lima orang pengamal media baru-baru ini oleh pihak polis menimbulkan satu persoalan adakah ini bermakna Ops Lalang 2.0 sudah kembali kerana lebih seratus orang ditangkap dan ditahan dibawah Akta Hasutan dan pelbagai akta yang lain.

"Jadi kami mengkritik penangkapan ini dan kami berasa bahawa ia tak setimpal dengan apa yang dikatakan oleh Perdana Menterii bahwa Malaysia ini negara yang sederhana.

"Kami sebulat surara mengecam penahan ini. Kami berpendapat bahawa tiba masanya untuk rakyat Malaysia menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap tindakan PDRM yang menekan kebebasan media," katanya pada sidang media di bangunan DUN Selangor hari ini.

Lihat Komen
ADS