Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir: Najib lebih teruk dari Pak Lah
Diterbitkan:  Apr 7, 2015 3:43 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tahap populariti penggantinya, Datuk Seri Najib Razak kini merosot ke paras paling teruk.

Malah, prestasi Najib juga lebih buruk daripada perdana menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Mahathir juga percaya bahawa BN mungkin akan tewas dalam pilihan raya umum selepas ini memandangkan Sabah dan Sarawak bukan lagi “undi selamat” buat parti itu.

“Pencapaiannya lebih buruk daripada Abdullah, tewas lebih teruk di Selangor di mana beliau mengetuai Umno.

“Sangat banyak skandal menghurunginya sekarang. Popularitinya lebih rendah berbanding ketika beliau mengetuai BN pada 2013,"  katanya.

Menurutnya lagi jumlah undi majoriti yang dimenangi BN di beberapa kawasan juga sangat tipis.

“Adakah terlalu mustahil untuk meramalkan kekalahan BN pada 2018?,” soalnya lagi di blog chedet.cc.

Beliau turut menjawab kritikan yang timbul ke atasnya susulan serangannya ke atas Najib minggu lalu.

Kritikan itu antara lainnya membangkitkan mengenai kerugian yang dialami negara semasa pentadbiran Mahathir.

Jawab kritikan

Antaranya, bekas menteri besar Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang membandingkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Temasek Holdings.

Menjawab perkara itu, Mahathir berkata tiada persamaan di antara Temasek Holding yang diusahakan Singapura dan 1MDB yang dicetuskan Najib.

“Temasek tidak kerugian wang tetapi wang yang dipinjam oleh 1MDB sudah lesap.

“1MDB bukan dana berlebihan milik kerajaan. 1MDB meminjam kesemua wangnya yang berbilion-bilion itu.

“Wang yang dipinjam tidak boleh dianggap sebagai kekayaan. Setakat ini, satu-satunya aset milik 1MDB adalah tanah yang dibeli dari kerajaan dengan harga yang sangat rendah berbanding harga pasaran.

“Namun selagi ia tidak terjual, ia tidak boleh digunakan untuk membayar RM42 bilion yang dipinjam oleh 1MDB. Malah, tidak memadai untuk bayar faedah," tulisnya.

Lihat Komen
ADS