Khutbah Jumaat di Wilayah Persekutuan hari ini menegur peniaga yang mengambil kesempatan memanipulasi harga barang selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan.

”Golongan peniaga ini adalah mereka yang tidak beretika dalam perniagaan dan mementingkan keuntungan semata-mata,” kata mimbar.

Khutbah juga menyarankan pengguna supaya melaporkan sebarang keraguan kepada pihak berwajib atas penipuan berlaku, memilih peniaga yang boleh dipercayai serta barangan yang suci, halal dan berkualiti.

“Sesungguhnya untung rugi nasib peniaga adalah terletak di tangan kita sendiri sebagai pembeli dan pengguna.

“Jika kita prihatin, berhemah dan waras dalam mendapatkan barangan dan perkhidmatan maka terjaminlah kehidupan kita,” menurut teks khutbah lagi.

Mimbar juga mengingatkan bahawa Islam mengharamkan sebarang bentuk eksploitasi, penipuan dan penindasan seperti disebut ayat al-Quran dalam surah al-Mutaffifin.

Tersalah 'share' buruk padahnya

Sementara itu, khutbah Selangor pula hari ini menyatakan kebimbangan terhadap fenomena media sosial yang berkembang pesat dengan mengheret sekali “unsur kemungkaran”.

Ia termasuklah gegala pendedahan aurat di Internet, membuka keaiban orang lain serta menyebarkan berita tidak pasti serta penggunaan kata-kata kesat.

“Tidak kah takut amalan k ebaikan kita hilang begitu sahaja akibat tersalah share atau berkongsi perkara tidak baik di sana sini?”soal khutbah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).