Pak Lah: Najib tak terlibat kes Altantuya
Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan mengatakan penggantinya itu tidak terlibat dalam pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Semasa pemerintahan mantan perdana menteri itu, siasatan polis pada 2006 berhubung pembunuhan tersebut telah membuat kesimpulan bahawa Najib tidak terlibat, lapor The Star Online ,
"Antara perkara yang dilaporkan kepada saya semasa saya menjadi perdana menteri adalah hasil siasatan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.
"Hasil siasatan rapi dan terperinci yang dibuat oleh PDRM dalam kes yang disampaikan kepada saya pada waktu itu mengesdahkan bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat langsung dalam kes tersebut," katanya.
Sementara Bernama melaporkan kenyataan dua perenggan itu dikeluarkan pejabat Abdullah di Putrajaya.
Altantuya dibunuh pada 18 Oktober 2006 dan mayatnya ditemui di hutan berhampiran Puncak Alam, Shah Alam.
Seorang lagi mantan perdana menteri Tun Mahathir Mohamad ( kiri ) sebelum ini mempersoalkan siapa yang mengarahkan Sirul Azhar Umar untuk membunuh Altantuya.
Katanya, sebagai pengawal peribadi Najib, dakwaan Sirul sebelum ini perlu disiasat bagi menentukan siapa yang memberi arahan tersebut bagi mengelakkan timbul banyak syak wasangka di kalangan masyarakat.
Berikutan "serangan" yang dibuat Mahathir, Najib semalam menjawab persoalan itu dengan menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengenali Altantuya serta tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kematian wanita itu.
Najib berkata, beliau juga telah melafazkan sumpah sebanyak tiga kali termasuk di sebuah masjid di Permatang Pauh pada 2008 bahawa beliau tidak terlibat dalam kes tersebut.

