Sultan: Jangan guna slogan Kita Lawan
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa kerana kerajaan negeri tetap berkeras untuk menggunakan slogan 'Kita Lawan' bagi kontinjen temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2016.
Titahnya beliau tidak mahu semangat kesukanan kontinjen negeri itu dicemari dengan unsur “politik dan perkauman”.
“Ini adalah kerana slogan Kita Lawan telah diguna-pakai oleh sebuah parti politik.
“Justeru itu, beta tidak mahu masyarakat umum tersalah tafsir atau menganggap bahawa Kontinjen Selangor mencampur-adukkan atau cuba berpolitik di dalam sukan.
“Beta berpendapat adalah lebih baik Kontinjen Selangor untuk SUKMA 2016 mencari slogan lain yang lebih bersemangat,” titahnya pada malam ini.
Baginda bertitah dalam satu majlis penyampaian pingat sukan Selangor di Subang Jaya pada malam ini.
Baginda turut mengakui jarang menghadiri majlis anugerah seperti ini tetapi tetap hadir pada malam ini demi kemajuan sukan negeri itu.
Oleh yang demikian, beta berkenan supaya inspirasi dan semangat sukan ini tidak dicemari dengan unsur-unsur politik atau perkauman.
“Beta menyeru kepada badan sukan, atlet dan para penyokong sukan hendaklah mengenepikan fahaman politik dan jangan dibawa masuk ke dalam pentadbiran sukan,” titahnya lagi.
Baginda secara langsung merujuk kepada pengumuman kerajaan negeri untuk menggunakan slogan tersebut.
“Beta berpendapat adalah lebih baik Kontinjen Selangor untuk SUKMA 2016 mencari slogan lain yang lebih bersemangat dan dapat berbangga mewakili negeri Selangor, serta tidak mempunyai kontroversi yang boleh membawa nama baik kepada para atlet, pasukan dan negeri Selangor yang kita kasihi ini,” titahnya lagi.
Exco hak ehwal sukan, Amirudin Shari awal bulan ini berkata, slogan tersebut tidak sepatutnya menimbulkan masalah kerana kerajaan persekutuan juga menggunakan slogan yang serupa dengan tema manifesto BN pada 2008.
Slogan pada tahun itu "Sukan Gemilang, Negara Terbilang" mirip dengan tema "Cemerlang, Gemilang dan Terbilang" yang dipromosi BN.
“Kita Lawan” pula merupakan slogan bagi perhimpunan setiap hujung minggu di Kuala Lumpur yang diadakan sejak ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihukum penjara pada 10 Februari.
Objektif kumpulan itu seterusnya berkembang kepada sasaran untuk menggesa ketua polis negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dipecat, dan pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan.

