Naib Presiden PAS Datuk Tuan Man Tuan Man berkata parti itu tetap akan memberi saingan kepada BN dalam pilihan raya kecil parlimen Rompin sekalipun diberi laluan percuma dalam pilihan raya kecil DUN Chempaka bulan lalu.

Katanya, PAS tidak mempunyai sebab memberi laluan mudah kepada BN sekalipun memujuk PAS supaya tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu demi menjimatkan wang, masa dan tenaga.

"Jika begitu (alasannya), apakah Umno akan memberikan kemenangan percuma kepada PKR di Permatang Pauh atas alasan yang sama?" kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan.

"Kalau ingin menjimatkan duit, lebih elok menteri besar Pahang menyatakan sokongan kepada (Tun) Dr Mahathir Mohamad dalam mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan jawapan kepada isu 1MDB dan pelbagai isu rakyat yang masih tidak dijawab," katanya lagi.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang mencadangkan supaya PAS tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu parlimen Rompin bagi menghormati Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan menjimatkan wang, masa dan tenaga kedua-dua parti.

Sebaliknya, pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata pilihan raya kecil itu medan terbaik menyuarakan keluhan rakyat termasuk masyarakat orang asal khususnya isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan isu pengurusan kewangan negara.

"Pendek kata, persaingan PAS-Umno di PRK Rompin akan menguntungkan rakyat Rompin," katanya sambil menambah laluan percuma kepada PAS di Chempaka tidan menandakan Umno sudah boleh mengganggap PAS sebagai sahabat.   

Pelbagai bantuan

Tuan Ibrahim berkata pilihan raya kecil itu juga sebagai satu peluang kepada rakyat untuk menilai pemimpin Umno dan BN termasuk bakal diberikan pelbagai bantuan dan kemudahan seperti jalan raya dan lampu akan ditambahbaik.

"Kita bertanding bukan untuk bermusuh tetapi menghidupkan sistem demokrasi. Umno tetap saingan PAS dalam politik," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang Jamaluddin dalam kemalangan helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April.

    

Allahyarham Jamaluddin menjadi anggota parlimen kawasan itu selama enam penggal dari 1990.

    

Pada Pilihan Raya Umum 2013, beliau menewaskan bekas ketua Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

    

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 5 Mei hari mengundi. Hari penamaan calon ialah 22 April.