Musim politik kini, meminjam ungkapan Lewis Carroll, penulis karya terkenal Alice's Adventures in Wonderland , “ curiouser and curiouser ” (pelik bin ajaib).

Tiba-tiba watak jahat menjadi wira dan wira menjadi jahat. Sahabat menjadi lawan dan lawan menjadi sahabat.

Perdana menteri keempat Dr Mahathir Mohamad kini bimbang Malaysia menjadi negara polis dan menyatakan bantahannya terhadap penangkapan wartawan.

Mengimbau kembali pada tahun 1987 – 28 tahun lalu – polis menjalankan operasi dengan kod nama “imperata cylindrica” atau lebih dikenali sebagai operasi lalang.

Di Malaysia, istilah lalang sering digunakan untuk untuk mengkritik pihak yang kerap berubah pendirian.

Lebih seratus orang ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) – undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan kini dimansuhkan.

4 akhbar ditutup

Ia memangsakan pemimpin pembangkang dan aktivis selain menyerang kebebasan akhbar.

Akhirnya lesen penerbitan dua harian The Star dan Sin Chew Jit Poh serta dua akhbar mingguan The Sunday Star dan Watan ditarik balik.

Peristiwa ini berlaku ketika Mahathir menjadi perdana menteri.

Beliau kemudian terus menjadi perdana menteri dan memecah rekod 22 pentadbiran 22 tahun sehinggalah meletakkan jawatan pada 2003.

Mahathir bagaimanapun hanya menerima tanggungjawab atas tindakan keras itu tahun lalu, walaupun mengaku berada di China ketika peristiwa itu berlaku.

Beliau menjelaskan walaupun keputusan itu dibuat oleh kabinet ketika beliau tiada, Mahathir mempertahan tindakan itu dilakukan demi kestabilan dan keamanan negara.

Hisham dan 'no, no, no'

Bagaimanapun, selepas Mahathir melancarkan serangan keras dan bertali arus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dua minggu lalu, iklim politik nyata telah berubah.

Mereka yang memuji-muji Mahathir ketika itu ini menari mengikut rentak yang lain.

Semasa perhimpunan agung Umno 2002, Mahathir mengejutkan banyak pihak dengan menyatakan hasratnya untuk berundur ( kanan ).

Ketika ratapan dan deraian air mata memenuhi bangunan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi antara pemimpin terawal memujuk Mahathir membatalkan hasrat itu.

Beliau menghampiri Mahathir di pentas sambil berulang kali mengulangi perkataan “ no, no, no ” (tidak, tidak, tidak).

Tetapi kini, Hishammuddin mungkin melihat langkah terbaiknya dengan tidak mengendahkan serangan Mahathir kepada Najib, yang juga sepupunya.

Pada masa yang sama, pihak yang mengecam Mahathir sebagai ahli politik zalim dan rasuah pun kini bersama-sama berdiri di belakangnya.

[Baca berita asal]