AS bangkitkan isu berkaitan Akta Hasutan
Amerika Syarikat mendesak Putrajaya menggugurkan dakwaan terhadap pengkritik kerajaan atau badan kehakiman ekoran pindaan Akta Hasutan 1948.
Pemangku Jurucakap Jabatan Negara AS, Marie Harf berkata, Washington menyambut baik keputusan Parlimen meminda peruntukan melarang kritikan dibuat terhadap kerajaan dan badan perundangan.
"Justeru kami berharap kerajaan Malaysa mempertimbangkan semula dakwaan yang dibuat di bawah peruntukan lama Akta Hasutan baru-baru ini," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Akta Hasutan (Pindaan) 2015 diluluskan parlimen minggu lalu.
Melalui pindaan itu antara lain peruntukan melarang perbuatan menghasut kebencian, menghina atau menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan dihapuskan.
Rang undang-undang itu juga membatalkan peruntukan melarang sebarang tindakan menyebabkan rasa tidak puas hati kepada badan perundangan Malaysia.
Ia masih belum dikuatkuasakan kerana perlu diluluskan Dewan Negara sebelum diwartakan.
Sementara itu, Harf berkata AS tetap bimbang terhadap aspek lain dalam pindaan akta berkenaan yang dianggap mengekang kebebasan bersuara serta perbincangan awam.
"Lebih membimbangkan ialah peruntukan baru yang menaikkan hukuman termasuk ke atas pesalah pertama serta ancaman terhadap tindakan mengongsi bahan dianggap menghasut melalui media sosial," katanya.
Sebelum pindaan itu diluluskan, kartunis Zulkiflee Anwar Haque, atau lebih dikenali sebagai Zunar didakwa atas sembilan tuduhan ekoran beberapa kenyataannya yang dibuat di Twitter.

