Mahkamah Majistret Kuching mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap seorang setiausaha sulit menteri pusat sehingga 20 April berkaitan dakwaan membuat tuntutan palsu berjumlah RM500,000.

Borneo Post melaporkan bahawa permohonan reman itu dibuat oleh DPP Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tertuduh bertugas dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu (kanan) , laporan akhbar tersebut yang turut menamakan setiausaha sulit berkenaan.

Majistret Zulkhairi Sulaiman membenarkan suspek ditahan reman oleh SPRM untuk membantu siasatan berhubung perkara itu.

Entulu ketika dihubungi akhbar tersebut menyuarakan rasa terkejut dengan penangkapan tersebut dan mendakwa pegawai itu hanya disiasat.

"Dia hanya disiasat. Pegawai SPRM membawanya ke mahkamah untuk melanjutkan tahanan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Jadi ia bukan tangkapan dan (dia) tidak didakwa (lagi)," kata Entulu dalam mesej teks kepada Borneo Post.

[Baca berita penuh/asal]