Kunjungan beberapa wakil rakyat DAP ke Timur Tengah dibuat untuk mempelajari lebih mendalam budaya dan politik Asia Barat, bukannya menubuhkan cawangan parti itu di negara berkenaan.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari berkata, parti itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sebarang akaun Facebook seperti DAP Mesir atau lain-lain seperti yang tersebar sejak beberapa hari lalu.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, penyebaran akaun berkenaan ternyata berniat jahat dan memburuk-burukkan lawatan mereka ke Asia Barat.

Zairil kini mengunjungi Timur Tengah sejak 13 April lalu dan melawat beberapa negara, termasuk Mesir dan Jordan.

Rombongan itu disertai empat ahli parlimen iaitu Lim Kit Siang (Gelang Patah),  Teresa Kok (Seputeh),  Liew Chin Tong, (Kluang) dan Steven Sim (Bukit Mertajam) selain beberapa kakitangan sokongan.

Ekoran lawatan itu, muncul beberapa akaun Facebook palsu yang menggambarkan seolah-olah DAP membuka cawangannya di negara berkenaan.

Pengkritik juga mengecam lawatan itu kerana membabitkan seorang wartawan media rasmi DAP lulusan bidang usuluddin Universiti al-Azhar dan menganggapnya sebagai anak Melayu tidak berprinsip dan hilang jati diri sehingga sanggup diperalatkan.

Zairil berkata, lawatan berkenaan sebenarnya ingin mempelajari perkembangan gerakan politik Islam yang semakin berkembang.

"Kami juga berjumpa serta berdialog dengan pelbagai organisasi bukan kerajaan setempat, selain bertemu tokoh ilmiah seperti Dr Mohammad Abu-Rummah dari Universiti Jordan dan Dr Fathi Malkawi dari Institut Pemikira Islam Antarabangsa," katanya.

Rombongan itu juga kata Zairil sempat berkunjung ke Kem Pelarian Zaatari yang menempatkan lebih 83,000 pelarian perang Syria.

"Selain itu kami mengadakan beberapa sesi perjumpaan dengan pelahar Malaysia di Jordan," katanya.