Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Nampak asap, cari api siram air
Diterbitkan:  Apr 21, 2015 5:37 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ada golongan tertentu sedang menaikkan nama sendiri atas alasan mahu menyelamatkan parti tanpa menyedari tindakan itu sebenarnya memberi 'peluru' kepada musuh.

Kata bekas pensyarah itu, antara tindakan mereka ialah membuat dakwaan rambang mengenai masa depan PAS berdasarkan apa yang berlaku di Permatang Pauh.

Katanya, PAS Pusat membuat keputusan memberi sokongan penuh untuk menyokong calon PKR dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan ia wajib dipatuhi.

Sebagai ahli PAS, katanya, pihak terbabit tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan bertentangan.

"Jangan buat apa yang kamu sendiri benci jika orang lain membuatnya," kata Tuan Ibrahim.

Kehangatan pertembungan kumpulan proulama dan sederhana dalam PAS terus memuncak menjelang pemilihan parti itu Jun ini.

Antara tokoh yang lantang menyuarakan pendapat menegur kumpulan proulama ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Kenyataan Tuan Ibrahim hari ini dipercayai antara lain ditujukan kepada Khalid.

Hormati dasar masing-masing

Tuan Ibrahim berkata, kadang-kadang pihak pimpinan atasan tidak memberi reaksi secara terbuka bukan kerana enggan menegur, tapi bagi mengelak kesan buruk berlaku lebih banyak.

Namun begitu, katanya, PAS perlu jujur melihat punca reaksi diberikan PAS Permatang Pauh dan Pemuda PAS Pulau Pinang dalam kontroversi pilihan raya kecil di situ.

Seperti selalu, Tuan Ibrahim berkias untuk menyampaikan mesejnya apabila berkata: "Kita harus ingat bahawa reaksi mereka itu ialah asap. Kita harus mencari apinya di mana? Di situlah kita harus simbah air."

Pada masa yang sama, katanya, ahli PAS harus bersikap adil terhadap parti sendiri sebagaimana mereka ingin bersikap adil terhadap rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Menurut Tuan Ibrahim, untuk meredakan suasana, semua pihak dalam Pakatan mesti memelihara kenyataan dan saling menghormati dasar parti masing-masing.

"Kalau sayangkan parti, jangan lukakan PAS dan imejnya. Sepatutnya, korbankan ego dan diri untuk parti dan bukan korbankan parti untuk diri sendiri," katanya.

Lihat Komen
ADS