Dalam usaha memerangi keganasan, khutbah Jumaat kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengetengahkan isu “jihad sempit” kumpulan bersenjata Negara Islam (IS).

Teks khutbah untuk masjid di Wilayah Persekutuan itu juga memperjelaskan ciri-ciri “pengganas yang menggunakan nama Islam” itu.

Ciri-ciri itu, menurut Jakim, berpegang kepada ideologi “salafi jihadi”, memperjuangkan negara Islam melalui perangan dan mengkafirkan pemerintah Islam yang tidak menegakkan hukum Syariah.

IS juga, menurut mimbar, memberi tafsiran berbeza mengenai jihad dan menolak hakikat jihad yang sebenar yang berasaskan kepada al-Quran dan Sunnah.

“...mereka membunuh sesiapa sahaja tanpa mengira orang Islam atau bukan Islam, mereka juga menghalalkan tindakan yang lebih agresif dan kemusnahan harta benda walaupun melibatkan hak saudara seagama mereka sendiri,” menurut khutbah.

Justeru, mimbar menegaskan perjuangan IS untuk menubuhkan negara Islam secara kekerasan bertentangan dengan ajaran Islam sebenar dan perlembagaan negara.

“Justeru, sebagai umat Islam yang cintakan keamanan dan berpegang dengan prinsip kesederhanaan, menjadi kewajipan kepada kita untuk menolak gerakan ini,” menurut teks khutbah itu lagi.