Kes antisalib: Polis siasat 'hasutan' kemudian
Polis Selangor mengambil alih siasatan ke atas demonstrasi 19 April oleh kumpulan penduduk Taman Medan yang turut disertai abang ketua polis negara.
Difahamkan, polis negeri kini menjalankan siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman dan Kanun Keseksaan kerana dakwaan menceroboh.
Ketua pasukan itu, Datuk Abdul Samah Mat berkata, polis akan meneliti bukti yang diperolehi jika terdapat kesalahan mengikut Akta Hasutan.
bagaimanapun menjelaskan, siasatan mengikut dua undang-undang itu hanyalah langkah awal.
“Untuk tujuan siasatan, memang kita klasifikasikan di bawah peringkat awalnya mengikut Akta Perhimpunan Aman dan Kanun Keseksaan.
“Tapi bila siasatan selesai, kita tengok apa bukti yang ada. Kalau ada kesalahan lain termasuklah kalau ada kesalahan di bawah Akta Hasutan, kita kena tunggu siasatan selesai.
Menurutnya, polis menyoal siasat ramai individu, namun enggan menamakan individu terlibat.
“Tak perlu beritahu siapa kita panggil, tapi kita sudah memanggil sebilangan besar. Ada sikit-sikit lagi kita hendak selesaikan,” katanya lagi.
Abang kepada ketua polis negara, Datuk Abdullah Abu Bakar merupakan antara kira-kira 50 orang yang berhimpun di luar sebuah gereja di Taman Medan.
Kumpulan itu menuntut agar lambang salib di gereja tersebut diturunkan.
Abdullah mendakwa, kehadirannya dalam perhimpunan berkenaan hanyalah untuk mendamaikan pihak peserta demonstrasi.

